Pengikut dan Ex-smgrian

Thursday, November 5, 2009

Sekolah Kebangsaan Seri Besout, Batang Padang

Pintu masuk ke Sekolah Kebangsaan Seri Besout (imej dari skseribesout.com)

Bermula sebagai sebuah sekolah cawangan bagi Sekolah Kebangsaan Kuala Slim, Slim River pada tahun 1981.

Sekolah cawangan yang bertempat di Besout 1 ini adalah bagi menampung murid yang terdiri daripada anak peneroka Besout 1, 2 dan 3, anak kakitangan dan anak pekerja perbadanan kilang sawit Besout. Kelas cawangan ini ditadbir Mohamad Majilah PJK.

Sekolah yang baru dibangunkan ini menghadapi pelbagai kekurangan terutama berhubung dengan kemudahan asas seperti bangunan, bekalan air, elektrik dan jalan.

Dewan dan rumah peneroka terpaksa digunakan sebagai bilik darjah bagi menampung sejumlah 264 orang murid.

Menjelang Januari 1983, sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Besout dengan kodnya ABA 0120 dan terpaksa menampung seramai 1,050 orang murid.

Jumlah yang bertambah secara mendadak ini sudah tentu memerlukan lebih banyak kemudahan.

Bilik darjah yang digunakan adalah projek kilat/blok kilat enam bilik, rumah kilang 12 buah, rumah peneroka yang diubahsuai lima buah dan rumah peneroka asal sebuah.

Manakala perabotnya dipinjam daripada sekolah berdekatan. Bekalan air hanya dapat dinikmati pada 23 September 1985 dan diikuti pula bekalan elektrik empat tahun kemudian iaitu 11 Ogos 1989.

Pada September 1984, projek pembinaan bangunan kekal tersergam sekarang ini dimulakan dengan perbelanjaan 1.6 juta.

Projek ini menggunakan kaedah 'pasang siap' dan merupakan projek sekolah pertama seumpamanya di negeri Perak.

Bangunan kekal ini terdiri daripada dua blok tiga tingkat dengan 18 buah bilik dan sebuah kantin.

22 April 1985 bangunan ini digunakan bagi sesi pagi sahaja dan bertukar nama kepada Sekolah Kebangsaan Seri Besout.

Majlis perasmian bangunan berkenaan disempurnakan Datuk Seri Anwar bin Ibrahim, Menteri Pelajaran Malaysia ketika itu pada 13 November 1986.

Sejak tarikh bersejarah itu sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Seri Besout.

Sumber: Sinar Harian

No comments: