Pengikut dan Ex-smgrian

Wednesday, November 18, 2009

Pengalaman mobiliti OKU - robot beroda bantu bayi distrofi muskular bergerak


ANIYA cuba mendengar arahan penyelidik, Sunil Agrawal (kiri).

DENGAN dikawal oleh seorang bayi berusia enam bulan, para penyelidik di Universiti Delaware, Amerika Syarikat (AS) nampaknya mula mendorong kanak-kanak bawah usia untuk memandu!

Tetapi, jangan pula anda salah sangka. Tujuan utama mereka sebenarnya untuk membantu kanak-kanak kurang upaya bergerak dan meneroka.

Para penyelidik menggunakan robotik dalam satu alat pelik yang seakan gabungan kereta bumper dan robot. Dalam satu ujian baru-baru ini, Aniya Harris, enam bulan, memecut di atas lantai dengan hanya menolak tongkat bidik pada sebuah kenderaan kecil. Aniya nyata terlalu mudah mengemudikan kenderaan tersebut.

“Saya rasa Aniya fikir tongkat bidik bermaksud, jalan,” kata Cole Galloway, seorang profesor terapi fizikal yang mengetuai penyelidikan perilaku motor bayi.

Cole dan beberapa penyelidik lain percaya robot yang dikenali sebagai UD1 itu menjanjikan sinar harapan baru kepada bayi kurang upaya khasnya mereka yang mengalami masalah ortopedik atau distrofi muskular.

Distrofi muskular merupakan satu kumpulan penyakit otot akibat faktor genetik yang menyebabkan kelemahan berterusan pada otot. Ia dikelaskan mengikut kelemahan berterusan pada rangka otot, kecacatan pada protein otot dan kematian sel-sel dan tisu otot.

Robot beroda membolehkan mereka bergerak dan meneroka dunia di sekitar seperti yang telah terbukti dalam pelbagai kajian bahawa kenderaan ini kritikal untuk perkembangan bayi.

Para penyelidik di Britain telah lama membuat kajian untuk mencari kaedah pergerakan terbaik untuk kanak-kanak.

Namun Galloway berkata, disebabkan faktor isu keselamatan, pemahaman konvensional berpendapat, kanak-kanak dirasakan tidak sesuai untuk kaedah tersebut sehinggalah mencecah usia empat atau lima tahun. Doktor-doktor pula berpendapat, usia terawal yang disarankan untuk menggunakan mobiliti berkuasa adalah pada usia tiga tahun.

Ini bermakna terlalu ramai kanak-kanak berisiko kehilangan hubungan awal antara mobiliti dan perkembangan keseluruhan.

“Sebaik sahaja anda berjalan, keupayaan kognitif anda akan berfungsi,” jelas Galloway.

Seorang profesor dalam kejuruteraan mekanikal di universiti berkenaan, Sunil Agrawal telah lama mengkaji robot-robot beroda yang dilengkapi pengesan sonar yang boleh mengelakkan halangan.

Satu contoh asli berdasarkan model-model tersebut digunakan dalam kajian yang melibatkan sedozen bayi dan sejumlah kecil kanak-kanak khas.

Dengan menggunakan sebuah komputer dan teknologi tanpa wayar, para penyelidik dapat mengukur frekuensi dan tempoh tongkat bidik digunakan oleh seseorang kanak-kanak.

Ini termasuk juga menilai lokasi, kadar kelajuan dan jarak kenderaan itu bergerak di samping tempoh masa yang dihabiskan memandu.

Dalam lawatan ke makmal itu baru-baru ini, Aniya kelihatan terduduk dalam UD1 sambil meraba-raba tongkat bidik tersebut.

Biarpun dilahirkan tanpa sebarang kecacatan, ibu saudara Aniya percaya pengalaman mobiliti yang dirasai oleh anak saudaranya itu boleh membantu kanak-kanak itu melalui proses pergerakan dengan lebih pantas.

Galloway dan Agrawal bagaimanapun memberitahu, kajian ini masih di peringkat awal dan kenderaan robotik itu tidak akan dipasarkan dalam tempoh masa terdekat. Sebaliknya mereka berharap boleh memperoleh dana untuk meneruskan kajian tersebut dan menghasilkan robot generasi kedua.

Ruth Everard seorang pengeluar kenderaan berkuasa lain dari Dragonmobility Ltd. di Cambridge, England pula berkata, penyelidikan di UD1 perlu dipergiatkan untuk memenuhi keperluan dan perkembangan kanak-kanak.

“Saya rasa, adalah penting untuk menggabungkan pengetahuan dan melihat balik apa yang pernah dilakukan sebelum ini,” katanya.

Everard yang menderita atrofi muskular spina pada usia 21 bulan dikira bertuah apabila bapanya mereka sebuah kerusi berkuasa.

Ini seterusnya menjurus kepada penubuhan sebuah syarikat yang menyediakan mobiliti kepada kanak-kanak berusia seawal usia 11 bulan.

Dari arkib Kosmo!

No comments: