Pengikut dan Ex-smgrian

Friday, October 2, 2009

Wau

Wau atau layang-layang Malaysia mempunyai keunikan dan kelainan yang tersendiri. Terdapat beberapa jenis wau yang mungkin belum terbiasa di pendengaran kita. Antaranya seperti wau kuching, wau merak, wau kangkang dan lain-lain lagi dan setiap wau itu mempunyai perbezaannya tersendiri yang membezakan wau dengan permainan tradisional yang lain.

Sesetengah wau juga direka dalam pelbagai bentuk termasuk menyerupai haiwan hinggalah ke bentuk bulan sabit bagi menarik minat pelbagai lapisan umur apabila wau melayang di langit.

Wau yang paling terkenal adalah wau bulan dan ia dinamakan begitu kerana bentuk ekornya seperti bulan sabit.

Wau bulan selalunya berukuran 2.5 meter pada sayapnya dan tinggi berukuran 3.5 meter dan pada satu-satu ketika wau ini boleh terbang mencecah kepada 450 meter. Bagaimanapun ia bergantung kepada pemainnya atau pengemudinya.

Kemahiran dan ketelitian diperlukan ketika membuat wau dan hanya tukang yang mahir dapat membuat wau yang bukan hanya cantik tetapi berkualiti dan mampu terbang tinggi. Wau yang tidak mengikut konsep pembuatannya tidak akan dapat naik ke udara.

Wau yang mempunyai imbangan yang baik akan dapat terbang tinggi dan tenang seolah-olah tegak terpacak di atas tanah.

Buluh yang digunakan untuk membuat wau ini dipilih dengan teliti yang mana buluh ini dipilih mempunyai ruas yang panjang. Kemudian buluh itu dipotong dan diraut dengan teliti supaya imbangannya dapat dikekalkan.

Wau lazimnya dihias indah, kertas-kertas yang digunakan dilukis cantik dengan motif awan larat dan motif-motif lain.

Wau-wau ini mempunyai saiz yang besar. Ada antara wau-wau ini yang berukuran enam meter lebar dan enam meter tinggi.

Wau memerlukan tali yang besar dan kira-kira 10 orang dewasa untuk menaikkannya. Wau sebesar ini hanya boleh terbang ketika angin bertiup dengan kelajuan 10 knots.

Pertandingan wau dibahagikan kepada beberapa bahagian. Antaranya wau paling tinggi, wau paling tenang, wau memiliki bunyi yang terbaik dan tidak ketinggalan wau yang mempunyai hiasan yang tercantik.

Sumber: Sinar Harian

No comments: