Pengikut dan Ex-smgrian

Friday, August 21, 2009

Masjid Al-Aqsa

Masjid Al-Aqsa terletak di Baitulmuqaddis Timur. Ia adalah masjid terbesar di kawasan tersebut, sehingga mampu memuatkan 5,000 orang beribadah di dalam dan sekitarnya. Masjid tersebut ditadbir oleh pihak Waqf sejak zaman pendudukan Israel pada tahun 1967.

Nama Masjid Al-Aqsa itu bermakna 'masjid paling jauh'. Ia menjadi sejarah penting dalam perkembangan agama Islam apabila dikaitkan dengan kisah Israk Mikraj, iaitu mengenai perjalanan Nabi Muhammad SAW yang menaiki Buraq dari Masjid Al-Haram di Mekah hingga ke Masjid Al-Aqsa sebelum naik ke langit.

Bangunan Masjid Al-Aqsa yang menjadi sebahagian kompleks bangunan agama di kawasan tersebut dikenali sebagai Gunung Majed (Al-Haram Al-Shariff) dan tapak ibadah suci yang ketiga (Tapak Ibadah Suci) kepada Muslim dan Har ha-Bayit (Kuil Suci) kepada Yahudi.

Pada asalnya, binaan masjid tersebut diperbuat daripada kayu ketika zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khatab, Khalifah Kedua Islam pada 638 Masehi. Kemudian Khalifah Abdul Malik ibni Marwan mengarahkan agar masjid tersebut dibina semula selepas pembinaan Qubbat As-Sakhrah (yang bermaksud Kubah Batu atau Dome of the Rock).

Namun sering kali ramai yang keliru perbezaan antara Masjid Al-Aqsa dan Qubbat As-Sakhrah. Ini kerana tarikan terhadap sebi bina bangunan Qubbat As-Sakhrah yang cantik itu bagi menempatkan sebuah batu besar dikatakan tempat Nabi Muhammad SAW berdiri ketika peristiwa Israk Mikraj. Lokasi Qubbat As-Sakhrah juga tidak begitu jauh daripada Masjid Al-Aqsa. Qubbat As-Sakhrah juga dikenali sebagai Masjid Umar kerana menjadi tempat Saidina Umar Al-Khatab bersolat ketika tiba di Baitulmuqaddis.

Qubbat As-Sakhrah (Dome of the Rock) seringkali disalah anggap sebagai Masjid Al-Aqsa

Namun kawasan suci bagi umat Islam itu sebenarnya bukan sahaja terletak di Masjid Al-Aqsa tetapi juga meliputi Qubbat As-Sakhrah dan kawasan sekitarnya yang terdapat di dalam Al-Haram Al-Shariff. Cuma Masjid Al-Aqsa itu mengambil nama daripada Masjidil Aqsa yang disebut dalam al-Qur'an.

Oleh kerana Masjid Al-Aqsa sebagai peninggalan sejarah yang paling bermakna bagi seluruh umat Islam, maka ia menjadi tanggungjawab daripada mereka untuk membela nasib bumi Baitulmuqaddis daripada kerakusan pihak Yahudi yang ingin menghancurkan sejarah Islam itu.

Istimewanya Baitulmuqaddis sebagai bumi kalangan nabi sehinggakan rakyat Palestin hari ini sanggup bertahan untuk terus tinggal di negara itu biarkan nyawa menjadi galang ganti. Maka kita sebagai umat Islam bertanggungjawab untuk turut sama berjuang dari segala aspek agar Baitulmuqaddis masih dipertahankan.

Menurut sumber Internet, sebuah kumpulan radikal Yahudi di Israel ingin memusnahkan Qubbat As-Sakhrah dan bangunan-bangunan lain di Al-Haram Al-Shariff bagi membina kuil ketiga Yahudi di kawasan terbabit. Keadaan tersebut menimbulkan kemarahan umat Islam, yang kemudiannya membawa kepada konflik dan peperangan.

Baitulmuqaddis adalah lambang ketamadunan Islam yang dibina oleh kegigihan dan keteguhan kalangan pendakwah yang mendidik manusia mengenai ajaran Islam. Ia bermula dengan penguasaan keturunan Nabi Ishak, iaitu Bani Israel sebelum kedatangan Raja Nebuchadnezzar dari Babylon. Seterusnya bumi tersebut kemudian di bawah pemerintahan Empayar Rom dan Byzantium, telah menjadi rebutan pelbagai kuasa besar zaman terdahulu termasuk Zaman Islam, Zaman Perang Salib, Zaman Mandat British dan Zaman Pendudukan Israel.

Paletin menjadi tidak aman sejak kaum Yahudi dengan bantuan kuasa Barat berjaya menubuhkan negara haram Israel pada tahun 1948. Pada tahun 1967, tentera Yahudi berjaya kuasai Baitulmuqaddis Timur, tetapi Masjid Al-Aqsa berjaya dipertahankan umat Islam melalui perjuangan penduduknya. Melalui serangan tersebut, tentera Yahudi berjaya menawan Gaza dan Tebing Barat.

Sumber: Sinar Harian

No comments: