Negeri Perak lahir dari aliran air yang menebing di Sungai Perak, daripada puncaknya di Ulu Belum hinggalah ke muaranya di selatan Melaka. Dari zaman awal lagi orang tertarik dengan keistimewaan sungai ini, lalu memudikinya sambil mencari tebing yang baik untuk mendarat. Mereka adalah peneroka yang datang membuka tempat baru dan berinteraksi dengan peribumi hingga menjadi orang Perak seperti yang ada sekarang.
Mereka memudikkan dengan sampan hingga sampai ke suatu anak sungai di tebing kiri Sungai Perak. Dalam kiraan mereka kuala sungai ini adalah bersempena, lebih-lebih lagi tebingnya rendah, tanahnya subur dan pemandangannya sungguh indah. Kebetulan mengikut kiraan mereka kuala sungai ini ialah yang ke seratus kurang satu atau 'Kuala Kurang Sa'. Kononnya itulah nama asalnya, KUALA KURANG SA dan kemudiannya disebut Kuala Kangsar sahaja.
Bagaimanapun, Kuala Kangsar sebenarnya adalah satu lokasi yang sangat baik, bukan sahaja sesuai sebagai tempat mendarat tetapi memang baik untuk penempatan, untuk bercucuk tanam, untuk pusat perniagaan. Di daratnya seseorang boleh meneruskan perjalanan menyusur sungai hingga ternampak Gunung Pondok, iaitu satu mercu tanda yang memandu orang dalam perjalanan ke Larut ataupun dari Larut.
Berdasarkan keistimewaan ini kita membuat kesimpulan bahawa Kuala Kangsar dan kawasan di sekelilingnya adalah tempat tua, sudah berabad-abad lamanya didiami orang. Pokok getah yang pertama ditanam di Malaysia yang kini berusia lebih 100 tahun masih hidup subur di perkarangan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar. Saiznya tiga atau empat pemeluk.
Kuala Kangsar juga merupakan Bandar DiRaja dan bersejarah bagi negeri Perak Darul Ridzuan. Kuala Kangsar juga merupakan kawasan pelancongan yang mempunyai pelbagai produk-produk tempatan dan IKS (Industri Kecil dan Sederhana) yang menarik.
Terletak kira-kira 48 kilometer ke utara dari bandaraya Ipoh, Kuala Kangsar mendapat nama bersempena pokok kangsar yang tumbuh di tebing sungai dan juga terdapat versi mengatakan terdapatnya 99 anak sungai dan kurang satu kepada seratus, iaitu melalui sebutan Kuala Kurang Sa. Kuala Kangsar dapat dihubungi melalui Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), jalan persekutuan dan melalui kemudahan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Kuala Kangsar juga merupakan sebuah daerah yang ditadbir oleh Pejabat Daerah Kuala Kangsar dan bagi kawasan perbandaran ditadbir oleh Majlis Perbandaran Kuala Kangsar. Pusat pertumbuhan utama daerah adalah bandar Kuala Kangsar, Sungai Siput Utara, Padang Rengas, Manong, Sauk, Karai, Salak, Lintang dan Lasah. Bandar Sungai Siput Utara merupakan pusat pertumbuhan kedua terbesar selepas bandar Kuala Kangsar. Aktiviti ekonomi utama adalah terdiri daripada aktiviti pertanian.
Terdapat 9 buah mukim di dalam kawasan daerah Kuala Kangsar iaitu:
Mukim Chegar Galah
Mukim Kota Lama Kiri
Mukim Lubok Merbau
Mukim Kampung Buaia
Mukim Senggang
Mukim Sayong
Mukim Kota Lama Kanan
Mukim Sungei Siput
Mukim Pulau Kemiri
Sumber: Sinar Harian.
No comments:
Post a Comment