Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, August 11, 2009

Era kegemilangan bola sepak Malaysia

Pasukan bola sepak Malaya bersama pasukan Burma sewaktu Pestabola Merdeka tahun 1957 (imej dari Arkib Negara Malaysia)

Bermula 1960-an hingga awal 80-an, skuad kebangsaan disegani, digeruni di pelosok dunia. Sejak bola sepak diperkenalkan oleh British pada awal kurun ke-19, sukan ini sudah meresapi dalam jiwa setiap masyarakat Tanah Melayu dan menjadi begitu popular.

Sedikit demi sedikit sukan ini sudah menular di segenap pelosok dengan kelab-kelab yang ditubuhkan bertunjangkan kepada sukan bola sepak sehinggalah lahirnya liga kebangsaan seawal tahun 1921 membabitkan semua negeri Tanah Melayu beraksi untuk merebut Piala Malaya yang kemudian ditukar kepada Piala Malaysia.

Pada tahun 1926, persatuan bola sepak negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Singapura bergabung untuk membentuk Persatuan Bola Sepak Tanah Melayu (MFA) sebagai usaha untuk menurunkan pasukan bola sepak Tanah Melayu menentang barisan Australia yang berkunjung ke Singapura pada tahun itu.

Pada tahun 1933, dihidupkan semula dengan pembentukan Persatuan Bola Sepak Malaya (FAM dengan presiden pertamanya ialah Sir Andrew Caldecott, disusuli M. B. Shelley, Dr. J. S. Webster, S. D. Scott, R. Williamson dan Adrian Clark, yang berkhidmat sehingga 1940.

Selepas Perang Dunia Kedua menyaksikan peningkatan mendadak dalam bola sepak negara dan di bawah teraju Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman, bola sepak Malaysia mula menuju kepada zaman kegemilangannya.

Pengenalan kejohanan Pestabola Merdeka pada tahun 1957 membantu meningkatkan lagi bola sepak Malaysia yang menyaksikan nama-nama tersohor mula menyinar di persada antarabangsa untuk menyaingi pasukan ternama Asia ketika itu.

Kapten pasukan Malaysia, Soh Chin Aun bersama Kapten pasukan Korea Selatan (imej dari Arkib Negara Malaysia)

Pada awal 1960-an hinggalah awal 1980-an, bola sepak Malaysia amat disegani. Dalam tempoh tiga dekad itu Malaysia berjaya melayakkan diri ke sukan Olimpik iaitu pada tahun 1972 di Munich dan 1980 di Moscow dengan barisan pemain seperti M. Chandran, Syed Ahmad, Namat Abdullah, Soh Chin Aun, R. Arumugam, James Wong dan Hassan Sani.

Dua kali Malaysia berjaya menampilkan diri dalam Piala Asia secara merit iaitu 1976 dan 1980 serta meraih pingat gangsa di Sukan Asia pada tahun 1976 di Teheran.

Allahyarham Mokhtar Dahari bersama Diego Maradona sewaktu perlawanan persahabatan antara Pilihan Selangor menentang kelab Boca Juniors di Stadium Merdeka pada tahun 1982 (imej dari mforum.cari.com.my)

Kenapakah pada zaman itu Malaysia mencapai kejayaan yang membanggakan dalam bola sepak dan siapakah yang membentuk pemain-pemain tersebut.

Persoalannya mungkin dapat dijawab dengan struktur sukan ketika itu yang kebanyakannya dengan perhatian kepada kelab-kelab sukan yang mencungkil bakat pemain dengan mengenali mereka di peringkat sekolah yang turut terbabit secara aktif dalam sukan.

Mungkin kajian perlu dilakukan untuk melihat struktur tahun 1960-an hingga 1980-an yang membantu menjulang bola sepak negara disegani di rantau ini.

Sumber: Sinar Harian

No comments: