Pengikut dan Ex-smgrian

Sunday, July 12, 2009

Hutan Lipur Ulu Kinta

Ekspedisi berkayak menyusuri Sungai Kinta di Ulu Kinta (imej dari riverrangerperak.blogspot.com)

Hutan Lipur Ulu Kinta terletak di Ulu Kinta, Tanjong Rambutan. Ulu Kinta merupakan bahagian ulu Sungai Kinta, merupakan sungai yang sangat penting dalam aktiviti perlombongan dari tahun 1850 hingga 1970.

Hilir Sungai Kinta bertemu dengan Sungai Perak di Kampung Gajah, Perak. Air di bahagian hulu sangat jernih tetapi di bahagian hilir keruh dan kotor. Ini kerana Sungai Kinta melalui bandar Ipoh, Batu Gajah dan Tanjung Tualang.

Perlombongan bijih timah di sini dan di sekitar Lembah Kinta menyebabkan air sungainya keruh. Walaupun tidak ada lagi aktiviti perlombongan, namun penduduk di kawasan tepi sungai ini menjadikannya tempat pembuangan sampah.

Hutan Lipur Ulu Kinta diwartakan sebagai kawasan hutan simpan, sesiapa tidak boleh menebang dan membalak di kawasan ini. Ia merupakan kawasan tadahan hujan yang sangat penting bagi membekalkan air minuman kepada penduduk. Sebuah kolam air terbina di sini berdekatan dengan kampung Orang Asli.

Hutan Lipur Ulu Kinta terletak dalam Hutan Simpan Bukit Kinta yang mempunyai jenis Hutan Dipterokarp Bukit.

Kawasan hutan lipur ini merupakan tempat berkumpul bagi pendaki yang hendak mendaki Gunung Korbu (ketinggian 3,183 meter), gunung yang kedua tertinggi selepas Gunung Tahan.

Kawasan ini sesuai untuk berehat, bersiar-siar dan berkelah di hujung minggu serta pada hari kelepasan am.

Sebuah perkampungan Orang Asli terletak bersebelahan hutan lipur ini.

Pengunjung boleh meninjau dan mempelajari dengan lebih dekat budaya dan tradisi kehidupan masyarakat Orang Asli.

Kemudahan yang disediakan diantaranya ialah pusat penerangan, pondok rehat, gerai makanan dan lain-lain lagi.

Untuk sampai ke hutan lipur ini pengunjung boleh menggunakan kenderaan sendiri atau teksi dari bandaraya Ipoh.

Sumber: Sinar Harian

No comments: