Pengikut dan Ex-smgrian

Thursday, August 7, 2014

Manhaj Islami dalam perpaduan ummah


Jama'ah

Perpaduan ummah adalah satu tuntutan yang amat penting dan perpecahan adalah sesuatu yang dilarang. Itu adalah satu perkara yang tidak boleh dipertikaikan lagi oleh kita sebagai umat Islam.

Manhaj Islami dalam memelihara perpaduan ummah ialah melalui al-jama'ah dan persoalan ini banyak diperkatakan di dalam hadis-hadis Rasulullah SAW antaranya sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi yang bermaksud:

"Hendaklah kamu bersama jama’ah, dan janganlah kamu berpecah (daripada jama’ah)."

Dan sabda Rasulullah SAW lagi yang diriwayatkan oleh Ahmad yang bermaksud:

"Jama’ah itu membawa rahmat, dan perpecahan itu membawa azab."

Menurut Imam at-Tabari di dalam kitab Fathul Bari mengatakan bahawa:

Yang dimaksudkan jama’ah di sini ialah bersama dengan kumpulan umat Islam yang berada dalam ketaatan pemerintah yang mereka bersepakat melantiknya sebagai pemerintah.

Begitu juga pandangan Imam al-Sarkhasi bahawa:

Jama’ah umat Islam ialah mereka yang memiliki kekuatan untuk mempertahankan negara dan umat di mana jua mereka berada.

Persoalan besar timbul di sini bagaimanakah Manhaj Islami dalam mendidik dan menyeru agar umatnya berada dalam jama'ah dan mengelak diri dari berlakunya perpecahan?

Dalam memelihara perpaduan ianya berkait rapat dengan kewajipan taat kepada pemerintah.

Dalam Islam kedudukan seseorang pemerintah itu terlalu mulia dan terlalu tinggi kerana merekalah benteng kepada perpaduan ummah.

Percayalah bahawa sesuatu umat tidak akan terselamat daripada angkara perpecahan dan pertelagahan melainkan apabila mereka menyerahkan kepimpinan kepada seorang ketua yang dapat menyatukan mereka berdasarkan kebijaksanaannya.

Seorang ulama iaitu Abu Abdullah menyatakan di dalam kitabnya Tahzib al-Risalah bahawa:

"Teraturnya urusan agama dan dunia adalah sesuatu yang dituntut dan ia tidak akan berlaku tanpa kewujudan pemerintah. Kalaulah tidak wujudnya pemerintah, nescaya keadaan manusia akan menjadi kacau-bilau dan mereka akan saling bunuh membunuh antara satu sama lain."

Al-Imam Abu Bakar al-Turtusyi pernah menyatakan:

"Taat kepada pemerintah adalah petunjuk bagi orang yang menjadikan cahayanya sebagai penyuluh, tempat berlindung bagi mereka yang memeliharanya. Orang yang terkeluar dari sempadan taat, tersingkir ia daripada perlindungan Allah, terlepas daripada jaminannya. Taat kepada pemerintah adalah tali Allah yang kukuh, agamanya yang lurus, perisai yang melindungi dan pemeliharaan yang tinggi."

Ingatlah pesanan Imam al-Ghazali bahawa:

"Sesuatu umat itu perlu mantap pegangan agamanya. Tidak sempurna agama melainkan seiring dengan dunia. Agama itu tiang utama, sementara kekuasaan itu adalah penjagaannya. Sesuatu yang tidak bertiang, pasti akan runtuh dan sesuatu yang tiada penjaga, pasti akan musnah dan hilang."

Justeru, sebagai orang yang beriman kita dituntut untuk mentaati pemimpin sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa' ayat 59 yang bermaksud:

"Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Rasul dan kepada Ulil-Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya."


Manhaj Islami dalam memelihara perpaduan ummah dapat dilihat di dalam pendekatan yang telah dibawa oleh Rasulullah SAW semasa pemerintahannya.

Baginda telah menunjukkan kaedah dan cara menunaikan kewajipan terhadap agama, masyarakat dan negara dengan mengukuhkan perpaduan warga Madinah yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa, agama dan keturunan dengan sama-sama mentaati pemerintah.

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ahmad bermaksud:

"Sesiapa yang memisahkan diri daripada jama’ah dan menghina pemerintah, ia menemui Allah SWT tanpa sebarang hujah yang dapat membelanya."


Perpecahan

Perpecahan sememangnya merugikan tetapi persoalannya mengapa umat Islam masih terjebak dalam perselisihan dan perpecahan walaupun dilarang agama.

Jawapan persoalan ini bukan semata-mata terletak pada lemahnya penghayatan agama tetapi didorong oleh hasutan musuh-musuh tradisi Islam seperti kaum Yahudi dan Nasrani yang tidak pernah padam, sebagaimana yang telah diperingatkan oleh Allah SWT melalui firman-Nya:

"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu)."

Dalam kitab tafsir menjelaskan bahawa golongan Yahudi dan Nasrani akan terus berusaha sedaya upaya untuk memperdaya orang Islam supaya mengikut kehendak mereka.

Justeru, mereka akan menggunakan pelbagai cara dan jalan untuk merosakkan akidah dan akhlak umat Islam. Tapi malangnya, peringatan Allah itu tidak dihiraukan oleh kebanyakan orang Islam.

Maka tidak menghairankan bilamana terdapat di kalangan orang Islam itu yang terpedaya dengan musuh Islam. Akibatnya, Islam sesama Islam bercakaran dan berpecah belah, sedangkan musuh-musuh Islam ketawa meraih kejayaan memperdaya 0rang Islam yang alpa terhadap amaran dan peringatan Allah SWT.

Apakah kita sanggup nersubahat dengan musuh yang sudah jelas mahu meruntuhkan negara dan memecahkan tembok yang selama ini melindungi agama Islam dan umatnya?

Perbuatan yang melampau ini hanyalah merosakkan akidah umat Islam untuk menghakis kedaulatan umat Islam.

Tariklah nafas kebijaksanaan, bukakanlah hati dan lihatlah apa yang sedang berlaku saat ini.

Bukankah agama Islam sentiasa dicabar?

Bukankah maruah umat Islam sedang dipersenda?

Bukankah pemimpin umat Islam sedang diaibkan oleh musuh-musuh Islam?

Maka, apakah perjuangan dan peranan yang telah kita laksanakan?

Apakah perasaan dan tindakan kita?

Adakah kita hanya menjadi penonton atau telah kita zahirkan sokongan kita untuk mempertahankan kesucian Islam dan hak umat Islam?


nikmat

Keamanan dan keharmonian hidup yang kita kecapi hari ini antaranya adalah hasil daripada kewujudan dan pembudayaan semangat saling hormat menghormati, bertolak ansur, berkompromi dan muafakat di kalangan masyarakat yang berbilang kaum, agama dan adat resam.

Semua rakyat berperanan dan memberi sumbangan terhadap perpaduan negara. Berkat perpaduan itulah juga yang membolehkan pemerintah melaksanakan pelbagai program pembangunan demi mensejahterakan hidup rakyat.

Ini adalah isyarat jelas bahawa perpaduan adalah nikmat yang tidak ternilai harganya yang perlu terus dipelihara dan dikekalkan oleh masyarakat majmuk negara ini.

Sedarilah bahawa mengejar agenda bersifat perkauman, kepentingan kelompok tertentu dan peribadi di dalam masyarakat berbilang kaum hanya akan menanamkan benih perbalahan yang akan memudaratkan dan menggugat keharmonian dan perpaduan.

Ini kerana apabila berlaku perbalahan dan perpecahan, sukar untuk menyatukan kembali.

Andai kata berlaku perbalahan, ia mungkin mencetuskan pula pergaduhan yang membawa kepada perpecahan dan permusuhan.

Setelah itu, barulah manusia akan merasai betapa sengsara dan peritnya erti kesusahan bila mana nikmat keamanan serta keharmonian dicabul.


Diserang

Umat Islam berkewajipan menghayati semangat pepatah Melayu:

Bersatu teguh, bercerai roboh.

Sebagai umat Islam kita juga wajib mengambil iktibar dari peristiwa penyatuan yang dicerminkan oleh bangsa-bangsa lain dalam mempertahankan maruah dan kepentingan mereka.

Renungilah peristiwa dari Peperangan Ahzab yang berlaku pada 7 Syawal tahun ke-5 Hijrah bersamaan 29 Februari tahun 627 Masehi, telah memberi pengajaran yang besar kepada kita dengan menyaksikan penyatuan golongan yang menentang Islam dalam memerangi Rasulullah SAW.

Pengajaran besar dari peristiwa Peperangan Ahzab menunjukkan kepada kita bahawa umat Islam pasti akan menghadapi serangan dan pakatan musuh untuk menghancurkan Islam dengan apa cara sekalipun.

Jika dahulu Madinah diserang daripada segenap arah, maka kita pada hari ini juga diserang dari pelbagai arah, sama ada serangan secara fizikal atau spiritual seperti serangan dalam bentuk pemikiran, politik, ekonomi, sosial dan sebagainya.

Yakinlah diri sendiri bahawa kekuatan utama umat Islam pada hari ini ialah dengan mengekalkan perpaduan sesama kita.

Kita diciptakan oleh Allah SWT dengan kriteria dan watak yang berbeza-beza.

Kita berbeza dari segi adat, budaya dan cara hidup serta ideologi. Namun kita dituntut untuk bersatu padu demi agama, bangsa dan negara.

Inilah sebenarnya Manhaj Islami demi mencapai perpaduan ummah. Justeru, renungilah firman Allah SWT dalam surah al-Hujuraat ayat 10 yang bermaksud:

"Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu; dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat."

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: