Agama Persekutuan
Berdasarkan kepada Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan bahawa Islam adalah Agama Persekutuan atau dimaksudkan juga sebagai Agama Negara.
Bagaimanapun, agama lain boleh diamalkan di Malaysia dengan aman dan damai.
Agama Islam juga telah mengajar umatnya bagaimana untuk menghormati dan melindungi hak-hak kemanusiaan merentasi bangsa, warna kulit dan agama.
Pengajaran paling penting adalah kita dilarang berlaku tidak adil terhadap mana-mana pihak hanya disebabkan perbezaan agama dan budaya.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud:
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antaramu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya."
Harmoni
Sirah Rasulullah SAW telah menunjukkan bahawa pendekatan agama memainkan peranan yang besar dalam toleransi beragama.
Rasulullah SAW ketika merangka Piagam Madinah, Baginda telah mengikut bimbingan wahyu dan berdasarkan norma-norma masyarakat Madinah ketika itu.
Dalam Piagam Madinah telah termaktub bahawa sesiapa yang hidup dan tinggal di wilayah Madinah, baik Islam atau bukan Islam, dengan syarat tidak berbuat zalim, khianat dan huru hara, maka hendaklah mereka dilindungi dan diberi keamanan di bawah kekuasaan Islam yang suci.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dengan maksudnya:
"Sesiapa yang menyakiti orang bukan Islam yang berada di bawah perlindungan Islam, maka dia telah menyakiti aku, dan sesiapa yang menyakiti aku, maka dia telah menyakiti Tuhan."
Begitu juga dengan apa yang diriwayatkan daripada Jabir Abdullah RA, katanya:
"Satu jenazah lalu di hadapan kami (para sahabat), maka Rasulullah SAW berdiri. Lalu kami pun turut berdiri. Kami berkata kepada Rasulullah SAW “Ya Rasulallah, itu adalah jenazah yahudi”. Sabda Rasulullah SAW “apabila kamu melihat jenazah, maka berdirilah." - Hadis Riwayat al-Bukhari.
Hadis ini memberi isyarat bahawa Islam menggalakkan umatnya menghormati semua agama dan kaum, kerana Islam menuntut kita supaya saling hormat menghormati dan bersikap lebih sopan santun serta berjiwa kemanusiaan sesama manusia yang lain.
Menurut Ibnu Taimiyah di dalam kitabnya Fatawa Ibn Taimiyah bahawa:
"Kesejahteraan umat manusia tidak dapat diwujudkan di dunia maupun di akhirat, kecuali mereka bergabung menjadi sebuah masyarakat, bekerjasama dan saling tolong menolong untuk menciptakan kesejahteraan dan mencegah kesengsaraan."
Ancaman
Terdapat usaha yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu yang sengaja kelihatan mahu menggugat keharmonian serta toleransi antara agama.
Umat Islam hari ini diserang dan diancam dengan pelbagai isu akidah seperti ada yang mendakwa dirinya diangkat menjadi rasul, memiliki kerajaan yang memerintah dari langit, mendakwa dirinya sebagai Tuhan, mendakwa solat sempurna hanya dengan berniat sahaja dan solat hanya wajib untuk tiga waktu sahaja.
Selain itu kita juga diancam dengan isu kalimah Allah oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke-82 yang bersidang pada 5 hingga 7 Mei 2008 telah membahaskan Isu Tuntutan Penggunaan Kalimah Allah oleh bukan Islam.
Muzakarah telah memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.
Oleh itu menjadi kewajipan bagi seluruh umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Kalimah Allah merupakan lafaz suci yang perlu dijaga dan dipelihara kesuciannya kerana ianya berkait rapat dengan akidah.
Sebagai umat Islam yang beriman kita perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini.
Sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah tersebut semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain hanya akan mendatangkan mudharat yang lebih besar kepada agama dan umat Islam.
Oleh itu, marilah kita bersama-sama menjaga kesucian dan identiti agama kerana bersikap terlalu terbuka sehingga membenarkan perkara-perkara yang melibatkan dasar akidah dan tauhid disalahgunakan oleh agama lain adalah amat merbahaya kerana matlamat utama mereka menggunakan kalimah Allah adalah untuk mengelirukan umat Islam dan kemudiannya mendakwa bahawa semua agama adalah sama.
Ingatlah bahawa semua gejala kerapuhan akidah ini sebenarnya akan menjatuhkan kemuliaan dan darjat umat Islam sendiri.
Akibat yang lebih buruk ialah azab siksa yang pedih di akhirat yang menanti golongan yang ingkar.
Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 72 yang bermaksud:
"Sesungguhnya telah kafirlah orang yang berkata: Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam. Padahal al-Masih sendiri berkata: Wahai Bani Israil!. Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang yang berlaku zalim."
Toleransi
Sebagai umat Islam kita dituntut bertoleransi di bawah norma dan etika hidup beragama.
Namun perlu diingat, toleransi yang dimaksudkan bukanlah bererti kita mengakui doktrin keyakinan mereka kerana di dalam persoalan akidah, agama Islam tidak sama sekali berkompromi dengan kekufuran atau kesyirikan.
Toleransi yang dimaksudkan oleh Islam ialah kita tidak melampaui batas dalam perkara yang telah dipersetujui.
Sikap melampaui batas sebenarnya akan menjadi pemangkin kepada kecelaruan minda dan perpecahan masyarakat yang seterusnya akan melemahkan kestabilan sosio-politik negara.
Umat Islam hendaklah sentiasa bersikap terbuka dan saling hormat menghormati antara satu sama lain.
Pihak bukan Islam usahlah mempertikaikan perkara yang telah termaktub di dalam Perlembagaan dan dipersetujui bersama serta mempertikai hak-hak eksklusif orang Islam.
Pihak yang berkuasa hendaklah menangani isu ini dengan penuh berhemah agar mereka yang cuba memporak-perandakan pegangan dan akidah umat Islam akan menyedari dan insaf bahawa usaha-usaha mereka itu sebenarnya tidak akan membawa kepada keharmonian dan kesejahteraan hidup dalam sebuah negara yang berdaulat.
Sebenarnya, perjuangan bagi mempertahankan dan menegakkan agama Allah serta hak-hak eksklusif umat Islam merupakan perjuangan yang suci yang dijamin mendapat pertolongan serta bantuan daripada Allah SWT.
Oleh itu, sebagai umat Islam kita wajib menolak segala bentuk atau konsep tuhan yang lain daripada Allah SWT.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Ikhlas ayat 1 - 4 yang bermaksud:
"Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang setara dengan-Nya."
Unggul
Mewujudkan keharmonian antara penganut agama adalah sebagai jalan penyelesaian terhadap konflik yang berlaku antara penganut agama di seluruh dunia, umat Islam hendaklah mengeratkan silaturrahim sesama kita.
Kita bertanggungjawab untuk mengekalkan keharmonian dan sebab itulah kita perlu mencegah lebih awal anasir-anasir yang boleh menggugat keamanan serta menolak sebarang unsur yang boleh memecahbelahkan perpaduan antara kaum dan agama.
Ingatlah bahawa agama Islam senantiasa unggul dan ianya akan terus unggul (Al-islamu ya’lu wala yu’la ‘alaih).
Marilah sama-sama kita meletakkan perhambaan kita kepada Allah SWT dalam segenap kehidupan dengan mengabdikan diri kita dengan sebenar-benarnya kepada Allah SWT dan menjaga akidah kita daripada terpesong jauh dari landasan yang digariskan oleh Allah SWT.
Sehubungan dengan ini, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam surah al-Isra’ ayat 41 yang bermaksud:
"Dan sesungguhnya Kami telah menerangkan jalan-jalan menetapkan i’tiqad dan tauhid dengan berbagai cara di dalam Al-Qur’an ini supaya mereka beringat (memahami dan mematuhi kebenaran); dalam pada itu, penerangan yang berbagai cara itu tidak menjadikan mereka melainkan bertambah liar."
sumber: e-khutbah JAKIM
No comments:
Post a Comment