Thursday, October 15, 2009

Orang papa pada hari Kiamat

Daripada Abu Hurairah r.a., Raulullah SAW telah bersabda:

"Adakah kamu tahu siapakah orang yang papa pada hari Kiamat? Jawab sahabat, "Orang papa yang kami tahu ialah orang yang habis wang dan harta bendanya." Baginda bersabda lagi: "Sesungguhnya orang yang papa pada hari itu ialah orang yang mengerjakan sembahyang, puasa dan berzakat, di samping itu mereka suka mencaci atau memaki hamun, menuduh dengan sewenang-wenang, memakan harta orang lain, membunuh manusia dengan kejam dan memukul orang yang tidak bersalah. Segala amal kebajikannya yang dikerjakannya akan digunakan bagi menampung kesalahan dan kejahatan yang dilakukannya. Sekiranya kebajikannya tidak cukup, maka baki kesalahannya akan dicampur dengan kesalahan orang yang dianiaya lalu dibebankan kepadanya, kemudian ia dicampakkan ke neraka."

(Riwayat Muslim)

Kesimpulan dan pengajaran
  1. Mereka yang tidak berakhlak akan mudah melakukan jenayah, dari mencabul kemuliaan agama Islam, teristimewa bagi mereka yang pandai menggunakan agama untuk kepentingan diri sendiri.
  2. Rasulullah SAW mengingatkan bahawa mereka yang mementingkan ibadat sahaja dan menganggap bahawa merekalah orang yang layak masuk Syurga adalah salah dalam Islam.
  3. Pencerobohan terhadap akhlak (menceroboh hak orang lain) adalah serupa dengan pencerobohan ke atas harta benda. Orang yang melakukannya akan diperhitungkan nasibnya di akhirat dan akan diperlihatkan apakah amalan ibadat fardhunya mampu menutup segala kesalahan akhlaknya.
  4. Islam mengarahkan supaya penganutnya menjadi kaya di dunia dan di akhirat. Orang Islam perlu berusaha membentuk masyarakat yang tinggi pekerti dan berkemanusiaan yang boleh menjadi contoh kepada masyarakat lain.

Dipetik dari buku 40 Hadis Pilihan susunan Ustaz Hj Abdullah Hj Abd Wahab

No comments:

Post a Comment