Tuesday, April 7, 2009

Sudah Terluka Merindu Pula

Malam telah pun melabuhkan tirainya. Suasana sunyi sepi, hanya bunyi cengkerik menyanyi sahaja yang kedengaran. Entah mengapa mataku begitu susah untuk dilelapkan. Dalam suasana begini, ingatanku sering mengimbas kembali kenangan masa lalu. Bila kenangan tersingkap, wajahmu akan terarca di ruang mataku. Aku masih ingat lagi peristiwa manis itu. Peristiwa yang ku anggap keramat suatu waktu dahulu. Waktu itu dunia remaja begitu indah ku rasakan dengan hadirnya kau di sisiku.

Roziah……ya Roziahlah yang telah mempertemukan kita. Lapan tahun dahulu Roziah menyambut hari jadinya yang ke-17. Dia telah menjemputku menghadiri majlis sambutan hari jadinya. Aku tiba tepat pada jam 8 malam. Roziah menyambutku dengan gembira. Dia kelihatan cantik dengan gaun ‘pink’nya sambil tersenyum riang di samping Khairul, teman lelakinya. Dia menjemputku duduk di meja khas bersama dengannya. Aku lihat semua tetamu yang datang ada pasangan masing-masing. Hatiku terusik juga apabila melihat keadaan mereka. Tiba-tiba ku rasakan diriku seolah-olah sedang diperhatikan oleh seseorang. Aku mengangkat mukaku dan menghalakan pandangan ke meja di hadapanku. Tersirap darahku apabila menyedari yang kau sedang merenungku. Aku menjadi tidak menentu. Hatiku menjadi resah dan dadaku berdebar-debar apabila kau terus merenungku. Keresahanku bertambah apabila Roziah beredar dari mejaku untuk menari bersama Khairul dan kau pula melemparkan senyuman kepadaku. Aku cuba membalas senyumanmu itu di dalam resah. Rasa-rasanya ingin saja aku pulang ketika itu, tetapi aku takut Roziah kecil hati dengan sikapku itu. Sedang aku melayan perasaan tidak menentuku, aku dikejutkan oleh suaramu.

“Hai, seorang saja ke? Boleh saya teman?” Begitulah bunyi ucapan pertama yang kau ucapkan padaku. Aku terpaku tanpa kata-kata. Aku tidak sedar bila kau datang ke mejaku. Kau terus tersenyum dan tanpa menunggu jawapan dariku, kau terus duduk di sisiku.

“Saya Annuar, siapa nama saudari?” Kau memulakan perbualan. Aku cuba tersenyum dan dengan debaran di dada aku menjawab pertanyaanmu dengan sedikit gagap.

“I…..Iza,” jawabku pendek. Kau tersenyum melihat kesudianku menjawab pertanyaanmu.

“Em……manja nama tu,” kau cuba memujiku, mungkin untuk memikatku. Aku cuma tersenyum.

“Iza kawan Roziah ke?” kau bertanya lagi.

“Ya, saya satu kelas dengan dia,” aku menjawab secara spontan. Perasaan maluku beransur hilang melihat keramahanmu.

“Saya kawan kepada abang Roziah. Saya bekerja di Bank Simpanan Nasional. Em……Iza nak minum? Biar saya ambilkan”.

Aku cuma mengangguk tanda setuju. Sewaktu kau berlalu Roziah datang ke arahku dengan senyuman bermakna. Dia duduk di sebelahku.

“Iza aku gembira kau tidak keseorangan di majlis ini. Sekurang-kurangnya kau dapat teman untuk berbual dan yang paling penting sekali kau telah berjaya menarik perhatian seorang jejaka yang sukar untuk didampingi. Aku pernah mencuba tapi tidak berjaya. Ternyata kau lebih hebat dariku dan aku sungguh tidak menyangkanya. Okay…..dia dah datang aku pergi dulu”.

Aku begitu terkejut dengan penjelasan Roziah tadi. Lantaran aku mengambil begku dengan pantas lalu terus keluar menuju ke jalanraya. Aku terdengar kau memanggil namaku tetapi aku terus menahan sebuah teksi dan pulang ke rumah.

Aku tidak tahu mengapa aku bertindak begitu. Di rumah aku cuba mencari jawapan atas sikapku itu. Mungkin kerana aku terkejut atas keterangan Roziah yang mengatakan dia jejaka rebutan atau disebabkan aku masih belum bersedia untuk berpacaran. Tetapi yang pasti aku takut untuk berdampingan dengan lelaki kerana aku tidak pernah punya teman lelaki. Rasa gugup dan takutku menyebabkan aku meninggalkan majlis itu. Di rumah aku sering teringatkanmu. Aku cuba melupakanmu kerana aku tidak mahu terlibat dalam dunia percintaan di waktu aku akan menghadapi peperiksaan. Aku masih terlalu muda untuk itu semua. Aku sangka kau tidak akan mencariku tetapi jangkaanku meleset sama sekali. Kau cuba memujuk Roziah bagi mendapatkan nombor telefon rumahku. Pada suatu hari sedang aku berehat-rehat, kau telah menelefonku. Kau telah menyatakan hasrat hatimu untuk mendampingiku. Aku yang di dalam keadaan terkejut terus menerima hasrat hatimu itu. Aku tidak tahu mengapa aku tiba-tiba berubah fikiran. Aku tidak tahu bagaimana ianya terjadi, mungkin sudah suratan takdir. Sejak hari itu kita sering bertemu. Kau menggalakkan aku untuk belajar dengan tekun. Kau juga selalu membelikan buku rujukan untukku. Aku amat berterima kasih kepadamu. Dunia ini begitu indah ku rasakan. Sebelum ini aku tidak pernah merasakan keindahan ini.

Sebulan sebelum peperiksaan kau membuat keputusan untuk tidak bertemu demi kebaikanku. Aku belajar bersungguh-sungguh untuk menyempurnakan janjiku padamu yang inginkan aku berjaya dengan cemerlang. Demi cita-cita dan harapanmu aku sanggup berkorban dan menahan rinduku padamu. Selesai sahaja peperiksaan aku terus menghubungimu di tempat kerja. Rinduku padamu tidak dapat ku bendung lagi. Keriangan yang ku harapkan bertukar menjadi kesedihan. Rakanmu memberitahu yang kau telah keluar bersama seorang gadis. Aku pulang dengan hampa. Sewaktu melewati McDonald’s aku bertembung denganmu bersama seorang gadis manis. Kau menegurku dengan senyuman berbunga sambil menggenggam erat tangan gadis itu. Kau berlalu sambil bergurau senda dengannya seolah-olah kau tidak pernah melafazkan cintamu padaku. Betapa sakitnya hatiku melihat keadaan yang tidak pernah ku duga itu. Aku pulang dengan perasaan kecewa, marah, sedih dan entah apa lagi. Sebulan lamanya aku mengambil masa untuk melupakan tetapi aku tidak berjaya. Tiga bulan kemudian aku menerima keputusan peperiksaanku. Aku berjaya dengan cemerlang. Aku begitu gembira dan sedikit sebanyak kelukaan hatiku telah terubat.

Permohonan untuk melanjutkan pelajaranku ke universiti telah diterima. Di hari aku hendak berangkat ke utara tanahair, kau datang menemuiku untuk mengucapkan selamat jalan. Wajahmu agak pucat dan tidak setampan waktu mula kita bertemu. Kau telah dikecewakan, begitu kata Roziah kepadaku. Kau memohon kemaafan dariku dan ingin menyambung kembali hubungan kita yang terputus.

Tetapi hatiku telah tawar terhadapmu yang mudah berubah hati. Biarlah kau rasakan betapa sakitnya akibat dikecewakan. Di universiti, kesibukanku telah membuatkan aku melupakan segala kesedihanku. Kini aku telah pun bergelar seorang doktor dan seorang isteri. Pemuda yang aku kahwini tidaklah setampanmu tetapi dia amat menghormati dan menyayangiku. Suamiku juga mengetahui bahawa aku pernah menyintai seorang insan bernama Anuar. Aku bahagia bersamanya namun kenangan bersamamu tetap kekal dan abadi. Kekecewaan yang kau lemparkan padaku membuatkan aku lebih matang dan tabah menghadapi hari muka. Walaupun kepedihan yang kau curahkan padaku suatu waktu dahulu masih lagi terasa, namun aku juga berterima kasih kepadamu kerana mengajarku erti kehidupan. Aku akan tetap mengingatimu, tentang budimu dan kecuranganmu terhadapku. Sudah aku maafkan kau Anuar. Dari jauh ku doakan agar kau berbahagia bersama gadis lain. Jangan kau harap kasih dariku kerana aku sudah berpunya.

Hanim
5A1

Cerpen ini hanyalah rekaan semata-mata (rasanyalah) dan disiarkan di dalam Majalah Eureka! (majalah SMGR yang pertama) isu pertama dan cerpen ini juga tidak berkaitan dengan Annuar Shadat bin Mohd Kassim ataupun mana-mana Anuar di dunia ini (termasuk Anwar Ibrahim). Kepada penulis asal cerpen ini Norhanim bt Yahya (mungkin sekarang sudah bergelar puan, mungkin juga bergelar doktor) sila tinggalkan komen sekiranya terbaca artikel ini.

*Gambar sekadar gambar hiasan.


No comments:

Post a Comment