Di sini aku senaraikan beberapa petikan yang bermanfaat daripada buku Melayu Perkasa hasil tulisan Prof. Dr. Sidek Baba terbitan Alaf 21.
> Oleh itu, sinergi konsep umat Melayu memberi erti yang cukup tersendiri iaitu bagaimana suatu bangsa yang ALLAH ciptakan menjadi suatu bahagian dan maksud umat yang menghubungkan bangsa-bangsa lain di dunia. Bangsa Melayu adalah suatu bangsa yang dibentuk oleh budaya yang sukakan kebaikan (maaruf) dan bencikan kemungkaran. Tidak sekadar itu saja, bangsa Melayu menjadi sebahagian daripada Tamadun Islam yang jauh lebih hebat dalam sejarah penghidupan umat manusia.
> Memperkasa umat Melayu sebagai umat teras menuntut kebijaksanaan yang tinggi. Dalam bidang ilmu dan pendidikan, harus berlansung suatu tajdid atau pembaharuan. Pembaharuan ilmu dan pendidikan harus mampu melepaskan ilmuan Islam daripada belenggu kebekuan dan bersikap simplistik terhadap perubahan. Tradisi unggul pada masa lalu harus dijadikan matarantai untuk memimpin perubahan pada masa kini supaya ianya senafas dengan zaman dan cabaran lingkungan.
> Hakikat ini penting untuk diinsafi oleh orang Melayu bahawa Islam bukan bererti Melayu. Masuk Islam bukan bermakna masuk Melayu. Dalam konteks Malaysia, definisi Melayu juga terkait dengan Islam dalam perlembagaan negara. Islam bukan dimonopoli oleh orang Melayu. Hari ini pun, sudah wujud pencairan dan kritisan tentang takrif dan jati diri orang Melayu. Isu murtad di kalangan orang Melayu sedang menjadi polemik yang hebat di kalangan orang bukan Islam.
> Umat Melayu menggilap kembali imej-imej diri dengan kefahaman dan ilmu Islam yang sebenar. Tidak salah menjadi Melayu dengan ciri-ciri kebudayaannya yang tinggi kerana al-Qur’an memberikan pengiktirafan tentang kejadian berbangsa-bangsa. Sekiranya konsep bangsa dilihat secara sempit, ianya tidak menggambarkan kesyumulan Islam itu sendiri malah boleh mengelirukan orang Islam dan bukan Islam.
> Cabaran yang amat mendesak, yang didepani oleh orang Melayu kini ialah cabaran persekitaran yang mendukung fahaman sekular dan liberal dalam berdepan dengan citarasa keagamaan yang masih berpaut dalam skop tradisi yang sifatnya membatasi. Wujud konflik yang tajam di satu pihak yang ingin memajukan generasi muda dengan asakan budaya popular Barat menerusi media cetak dan elektronik yang tidak terkawal dengan mendorong mereka ke arah jalur hedonistik atau berpoya-poya dengan aktiviti pesta yang mengakibatkan ketirisan watak Melayunya dan juga kualiti agamanya.
> Sebatang pokok tidak tumbang semata-mata kerana hentakan mata beliung atau kapak, tetapi tumbangnya pokok akibat daripada kayu yang disendalkan dengan beliung yang memberikan hentakan yang amat berkesan supaya pokok kayu itu tumbang. Beliung atau musuh orang Melayu tetap berlagak seperti jerat dan pelanduk. Pelanduk selalu lupakan jerat tetapi jerat tidak pernah lupakan pelanduk.
> Bangsa Melayu yang dikaitkan dengan Islam mendukung maksud ummah dalam erti kata yang luas. Al-Qur’an memberi pedoman mengenai konsep khayra ummah atau umat terbaik sebagai asas kejayaan. Umat terbaik terdiri di kalangan bangsa-bangsa yang melakukan hal-hal yang makruf dan mencegah kepada perkara yang mungkar dan beriman kepada ALLAH. Apabila bangsa Melayu cintakan kebaikan dan bencikan kejahatan serta sentiasa menghubungkan perbuatan dan gelagatnya untuk mendapatkan keredhaan ALLAH, maka bangsa Melayu menjadi sebahagian dari umat Islam yang berjaya, maju dan cemerlang.
> Dalam bidang ilmu pengetahuan terdapat pertanda anak-anak Melayu sedang menyertai berbagai bidang ilmu pengetahuan di institut pengajian tinggi di dalam dan di luar negara. Potensi cemerlang di kalangan mereka harus dikenal pasti dan dipantau supaya dapat memajukan potensi mereka secara susulan sehingga ke tahap pakar menjadi suatu keutamaan. Modal insan seperti ini harus diperbanyakkan supaya sumbangan dan kajiannya dapat menyumbang ke arah pembangunan dan kemajuan Malaysia.
> Binaan ilmu pengetahuan dalam Islam harus diungkapkan secara tamadun. Pendekatan ritual atau rohaniah yang terbatas harus dikembangkan dengan ilmu mengurus sistem yang tidak terpisah dengan sistem nilai yang makruf. Ia harus bermula dengan proses integrasi dan Islamisasi ilmu dan pendidikan. Darinya bakal lahir modal insan di kalangan umat Melayu yang holistik.
> Islam bukanlah agama untuk orang Melayu saja. Ia adalah agama yang universal dan boleh dianut oleh sesiapa saja. Di Malaysia, kebetulan takdir sejarah yang menyebabkan orang Melayu beragama Islam. Ramai juga di kalangan orang Melayu yang menganut Islam secara keturunan. Yang teserlah dalam amalan dan kefahaman bukan Islamnya, tetapi Melayunya. Di sini perlunya Islam itu mendasari watak dan peribadi pemeluknya supaya yang terlihat pada amal dan perbuatannya ialah contoh dan nilai yang baik yang dianjurkan oleh Islam.
> Islam dan pemahaman terhadap silang-budaya dan peradaban adalah amat penting. Pelajar-pelajar Islam harus mampu melepaskan diri daripada kepompong tradisional yang membelenggu sebaliknya memanfaatkan faktor-faktor tradisi yang positif supaya dapat diolah dengan bijaksana dan menjadi relevan terhadap kemajuan dan perubahan. Ianya menuntut tajdid ilmu dan pendidikan secara bijaksana supaya pelajai-pelajar Islam mempunyai keupayaan reflektif terhadap tamadun silam dan bersifat futuristik dan kreatif terhadap perubahan yang berlaku.
> Asas ihsan ini sangat penting bagi seseorang dalam melaksanakan amanah pengurusannya. Dalam Islam amanah pengurusan ialah suatu ibadah. Melaksanakan sesuatu atas niat ibadah dan bila melakukannya harus yakin akan penyaksian ALLAH mempunyai daya dorongan yang tinggi untuk berlaku jujur dan ikhlas. Inilah asas ikhsan yang menjadi tunggak dalam menguruskan sesuatu.
> Bangsa teras adalah bangsa yang memiliki ilmu, keahlian dan kebijaksanaan. Bangsa ini dicontohi dan dihormati oleh orang lain. Ia bukan dihormati semata-mata kerana status-quo atau kenyataan sejarah menyebabkannya demikian, tetapi keupayaannya mengurus negara dan sistem menjadikannya dihormati.
> Umat Islam dengan jumlahnya yang begitu ramai perlu melihat tanggungjawab kelilmuan dan pendidikan sebagai suatu jihad besar. Menginsafi tanpa kekuatan ilmu dan pendidikan yang bersepadu, tidak memungkinkan umat Islam mampu bangkit dalam menghadapi cabaran globalisasi yang sedang mengubah gaya hidup kita.
> Hari ini kajian tentang sains atau maksud memahami ‘nature’ meminggirkan konsep Penciptaan dan kejadian yang memberi rahmah dan ni’mah kepada manusia. Sebab itu, saintis hari ini sudah hilang pedoman mengenai etika yang betul dan tanggungjawab moral yang tinggi untuk menjaga maslahah kemanusiaan. Teknologi sedang digunakan untuk merosak kehidupan sesuatu bangsa dan budayanya kerana kuasa-kuasa besar hari ini menjadikan teknologi persenjataan untuk menjajah dan memusnah.
> Islam tidak menolak penghasilan teknologi tinggi dan selamanya melihat teknologi sebagai alat dan bukannya matlamat. Kepentingan Islam dalam hubungannya dengan teknologi ialah setakat mana teknologi menyumbang ke arah mengangkat martabat insan dan membangunkan hati budi manusia. Sekiranya perisian yang terkandung dalam komputer atau di dalam media elektronik dan cetak mengandungi elemen-elemen perdagangan dan berpoya-poya, ianya tidak membantu menyerlahkan akhlak insan malah boleh menyebabkan pengguna terjebak dengan ketagihan yang parah dan menjadikan imej-imej popular sebagai ‘idola’ dan ‘dewa’ yang boleh mensyirikkan insan.
> ALLAH melahirkan insan dengan bakat akliah, rohaniah dan juga jasmaniah. Ketiga-tiga bakat ini perlu disuburkan supaya ianya menyumbang untuk pembangunan diri dan memberi kesan yang baik terhadap persekitarannya. Membangunkan bakat akliah membolehkan perkembangan pemikiran berlaku, membangunkan bakar rohaniah membolehkan kekuatan dalaman lebih subur dan membangunkan bakat jasmaniah menyebabkan ketangkasan dan kecergasan berlaku. Ketiga-tiga bakat ini perlukan didikan dan latihan bersumberkan nilai supaya proses pembangunan berlaku secara seimbang.
> Harus ada perimbangan daripada sudut kesedaran untuk berubah dengan corak perubahan itu sendiri. Perubahan dalam falsafah umat Melayu mestilah mengambil kira faktor nilai dan adab supaya perubahan itu lebih terarah. Kesasaran yang berlaku setelah sekian lama ialah apabila kakaguman orang Melayu terhadap perubahan berlaku secara luar biasa sehingga asas budaya dan tradisi pun ingin dirombak. Umpamanya untuk maju dalam sains dan matematik, bahasa Inggeris dijadikan bahasa utama dan telah meminggirkan bahasa Melayu yang menjadi bahasa rasmi negara.
> Liberalisasi dalam pemikiran, tafsiran, budaya dan nilai adalah akibat daripada kurang mendalamnya kajian dan perenungan yang dibuat untuk respon terhadap hal-hal semasa yang banyak dihubungkan dengan metodologi Barat. Sekiranya di kalangan pemikir dan ilmuan Melayu berfikir mengikut jendela Islami, tidak ada sebab liberalisasi harus berlaku. Liberalisasi adalah agenda Barat dan para orientalis untuk memberi pendekatan mereka terhadap hal-hal agama, budaya, bahasa dan tradisi mengikut jendela mereka. Ada analisis berbanding yang boleh dimanfaatkan tetapi dalam banyak hal pendekatan mereka adalah bercanggah dengan tradisi tafsir dan taawil yang berkembang dalam tradisi Islam.
> Konsep acuan sendiri ini amat penting dan menjadi agenda umat di abad ini. Pembinaan modal insan tanpa acuan sendiri bakal mengulangi pendekatan lama dalam proses pembangunan dan perubahan yang berasaskan pendekatan Barat. Barat tidak ditentang oleh umat Islam tetapi proses pembaratan yang menjadi isu. Tradisi Islam tidak melihat teknologi sebagai matlamat tetapi selamanya melihat teknologi sebagai alat dan apa yang dibawa oleh teknologi menjadi isu penting yang menuntut penyaringan dan aplikasi sistem nilai.
> Umat Islam hari ini memiliki tiga kekuatan yang kalau dibangunkan dengan bijaksana boleh menyebabkan kebangkitan semula umat Islam dalam membangunkan tamadun. Pertama, umat Islam memiliki keunggulan tamadun silam yang menuntut keupayaan reflektif yang tinggi bukan hanya rasa nostalgik yang sifatnya retorika. Kedua, di perut bumi umat Islam terdapat sumber hasil bumi yang kaya dan ianya menuntut kekayaan itu tidak dieksploitasi oleh kuasa lain dan memanfaatkan sumber yang kaya untuk membangunkan modal insan umat. Ketiga, umat Islam mempunyai sumber tenaga insan yang melepasi 1.4 bilion orang. Sekiranya tenaga yang di kalangan mereka diberikan ilmu dan latihan yang integratif khususnya dalam bidang bisnes dan teknologi, bayangkan kualiti modal insan yang bakal menggembleng, mengurus sumber-sumber rahmah dan nikmah ALLAH yang kaya bagi membolehkan konsep ‘adil dan ihsan’ berkembang untuk menghidupkan cita-cita ummatisasi bagi mendepani globalisasi.
> Orang-orang yang memiliki jiwa insani yang tinggi adalah orang yang berbudi. Orang yang mempunyai jiwa haiwani yang serakah adalah orang yang tidak berbudi. Malek bin Nabi dalam memberikan analisis tentang tamadun umat menyebutkan umat Islam pernah berada dalam tiga tahap. Tahap pertama ialah tahap rohaniah yang tinggi iaitu tahap yang baik. Tahap kedua ialah tahap akliah yang berkembang, terpisah dengan rohaniah dan ianya dilihat sebagai tahap mendatar. Dan tahap ketiga naluri dimana kemerosotan jiwa keinsanan berlaku dan menyebutkan kemajuan berlaku dalam impian kebendaan dan negatif.
> Bahasa Melayu diperikan dalam ungkapan yang amat bermakna. Analogi yang diberi, nasihat yang disampaikan, bimbingan yang tersurat, maksud yang tersirat, usikan yang bijaksana dan sindiran yang lembut adalah kekuatan peribahasa Melayu sehingga apabila ia disampaikan bahasanya berirama, maksudnya jelas, simbol flora dan fauna mengesankan dan ianya memaparkan keluhan rasa penyampai supaya wujud kesedaran, kefahaman dan keinsafan terhada orang lain tentang sesuatu yang disampaikan.
> Kehebatan ulama dan umara berganding ilmu dan kebijaksanaan, kreatifnya ilmuan, karyawan dan seniman dalam melahirkan karya-karya yang dijadikan sumber rujukan, menyepadukan ilmu mengurus diri dan ilmu mengurus sistem, berkembangnya tradisi muzakarah yang berdaya menampung perbedaan dan persamaan menyebabkan konsep ulul al bab membudaya, jiwa tafakkur dan tadabbur menyubur dan akhirnya menyebabkan Barat terhutang ilmu kepada khazanah Islam.
> Meskipun berada dalam jamaah itu penting tetapi fokus terhadap jamaah tidak harus melupakan tanggungjawab terhadap ummah. Kecenderungan terhadap jamaah atau jamaah-centric tidak harus menjadikan generasi muda menyempitkan maksud penyegaran Islam malah tumpuan kepada ummah atau ummah-centric harus menjadi agenda bersama. Hatus dicari titik-temu yang bermanfaat, memperkongsi visi dan misi, manhaj atau pendekatan dan metodologi yang menyerasikan idealisme tinggi dengan realiti yang mencabar keupayaan dan kreativiti yang sifatnya setempat.
> Menjadi Melayu dengan nilai-nilai Islam yang baik akan memberi kesan yang positif kepada yang bukan Melayu. Umpamanya, Melayu sebagai bangsa teras terlibat dalam kepimpinan dan pengurusan negara. Sekiranya kualiti amanah, adil, jujur, timbang rasa, ikhlas, telus dan tulus menjadi amalan utama dalam kepimpinan dan pengurusan, ianya tidak saja memberi kesan baik kepada umat Melayu dan negara tetapi juga kepada bukan Melayu.
> Uniknya bahasa Melayu dalam konteks umat Melayu adalah terpancar istilah dan makna yang berasaskan sistem nilai. Sejak merdeka terbukti bahasa ini digunakan di pusat pengajian tinggi khususnya dalam bidang sains, teknologi dan perubatan. Lulusan sekolah-sekolah dan institusi yang menggunakan bahasa Melayu terbukti berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara, tidak sahaja di universiti yang menggunakan bahasa Inggeris tetapi juga bahasa Perancis, Jerman, Jepun, Korea dan sebagainya.
> Para pemimpin dan tokoh-tokoh korporat berlumba-lumba tidak cenderung menggunakan bahasa Melayu di media. Pemimpin-pemimpin negara, tokoh-tokoh korporat semacam rasa hebat bila menggunakan bahasa Inggeris. Kadang-kadang kenyataan yang dibuat menyentuh dasar dan maklumat yang perlu diketahui oleh masyarakat luar bandar yang tidak semua memahami bahasa Inggeris. Apakah keghairahan baru ini menandakan kepimpinan negara sudah mula tidak percaya kepada peruntukan Perkara 152 dalam Perlembagaan Negara. Kalau begitu keadaannya bagaimana kita mengharapkan orang lain dapat menghargai keutamaan bahasa Melayu kerana pemimpin orang Melayu sendiri tidak dapat menjadi contoh terbaik kepada masyarakat Malaysia itu sendiri.
> Malaysia amat memerlukan jenis kepimpinan yang mampu menjalin dan memperkukuhkan integrasi dan toleransi. Integrasi seharusnya dipupuk dalam konteks nilai-nilai bersama yang boleh diperkongsi dan nilai sejagat yang boleh diterima. Toleransi bermakna perbedaan yang ada tidak dijadikan asas untuk berkonflik tetapi persamaan yang banyak harus disuburkan secara sedar supaya kebaikan daripada nilai bersama yang diperkongsi boleh menghilangkan perbedaan akibat kejahilan dan prasangka.
> Pancaran tamadun yang dianuti oleh banyak bangsa-bangsa di dunia perlu memberikan fokus tentang pentingnya nilai-nilai yang bersifat spiritual atau rohaniah. Ianya perlu disuburkan supaya kualiti kemanusiaan dapat diperkasakan. Kualiti kemanusiaan menjadi semakin tiris dan cair akibat manusia menjadikan faktor lain sebagai sumber yang memandu kehidupan. Kecenderungan yang berlebihan terhadap fahaman kebendaan, individualistik dan fahaman hedonistik (berpoya-poya) umpamanya tidak meletakkan nilai-nilai yang fitrah sebagai sandaran. Ianya sedang berlaku di kalangan sebahagian penganut semua agama di dunia.
> Asimilasi dan integrasi dalam tradisi Islam adalah suatu proses. Ianya terhasil berasaskan renungan dan kajian tentang manfaatnya kepada budaya dan kehidupan. Apabila asimilasi dan integrasi berlaku, ianya memperkayakan khazanah budaya dan ilmu manusia dan akhirnya menyuburkan budaya ilmu yang sihat dan corak kehidupan yang sejahtera. Darinya lahir tasawwur yang jelas dan jalur hidup yang mempunyai arah tuju yang lebih bermakna dalam membangunkan erti diri dan tamadun. Inilah asas asimilasi dan integrasi yang dianjurkan oleh Islam supaya kualiti keinsanan dan keihsanan diperkasa.
> Tidak timbul krisis psikologi bahawa berbahasa Melayu ini disifatkan sebagai kekampungan. Malah amat salah sama sekali dengan bercakap menggunakan bahasa Inggeris memberikan simbol moden, maju dan kontemporari. Tetapi keupayaan mengungkap ilmu dan pemikiran yang bernas dalam bahasa Melayu adalah gambaran kekuatan bahasa itu sendiri. Ianya juga menggambarkan kekuatan psikologi sesuatu bangsa.
> Terdapat salah faham terhadap maksud budaya Barat di kalangan generasi muda Islam. Kalaulah budaya itu diibaratkan suatu cara hidup, aspek-aspek positif dari Barat seperti kecintaan kepada ilmu dan kaji selidik, kegemaran kepada membaca, berfikir dan berbincang serta tradisi mengutamakan cara hidup yang demokratis tidak dijadikan pedoman yang terbaik. Di sebaliknya, lagu-lagu yang tidak keruan, muzik yang kehilangan arah, pakaian yang kehilangan identiti, filem-filem yang meransang keganasan dan kelucahan dijadikan sumber ikutan dan kebanggaan hingga menyebabkan generasi muda hilang cintanya kepada seni sendiri dan akhirnya lahir rasa ketagih terhadap seni popular yang meransang hal-hal negatif.
> Kehidupan dalam apa bangsa pun yang tidak dipandu daripada nilai-nilai murni yang terpancar daripada agama dan falsafah boleh menyebabkan faktor bangsa yang semata-mata menjadi pembeza yang kaumiyyah sifatnya serta rapuh terhadap nilai-nilai murni. Kehidupan yang ingin digarap berlandaskan iri hati, dendam, syak wasangka dan akhirnya boleh mencetuskan konflik.
> Ramai orang Melayu yang berjaya lupa kepada amanah membangunkan bangsanya, terlalu sombong dengan jawatan dan kedudukan sehingga terlupa bahawa ramai di kalangan generasi terdidik Melayu memerhatikan gelagat mereka dengan rasa kesal yang mendalam. Malahan faktor-faktor yang menjadi asas ketuanan tidak lagi dilihat sebagai amanah untuk dipertahankan. Meremehkan kedudukan bahasa Melayu dalam matematik dan sains adalah salah satu contoh penghakisan terancang di kalangan orang Melayu sendiri. Ianya dilakukan sendiri oleh pemimpin Melayu yang merasakan jati diri tidak lagi penting dan tidak bersedia mendengar pandangan ilmuan Melayu yang prihatin terhadap bahasa Melayu.
> Orientasi pendidikan ke arah peperiksaan harus diubah kerana keperluan kepimpinan dan kepengikutan umat Melayu hari ini dan masa hadapan tidak saja dalam batasan teknologi tinggi (high-tech) tetapi kepentingan soft skill seperti ketrampilan keinsanan (high touch) adalah sesuatu yang amat dituntut. Membangunkan sistem pendidikan secara mekanistik dan robotik boleh menyebabkan generasi muda hilang sentuhan keinsanannya dan amat terdedah dengan proses pembudayaan Barat yang popular dan menyebabkan kecairan dan ketirisan jati diri umat Melayunya.
> Pembangunan modal insan adalah jawapan terbaik bagaimana mobiliti dalam ilmu dan pendidikan di segala lapangan dan jurusan dapat diperkasakan supaya generasi muda umat Melayu dibekalkan dengan pendedahan yang wajar, memberikan lonjakan daya saing dan daya juang mereka.
> Kepimpinan umat Islam di Malaysia harus mengukuhkan dimensi bahawa sebagai sebuah masyarakat yang majmuk penampilan sebagai kepimpinan teras harus ada. Kepimpinan teras tidak saja mempunyai keupayaan untuk membangun masyarakatnya tetapi dalam masa yang sama menjadi sumber teladan dan ikutan di kalangan orang lain.
> Islam tidak harus didekati secara emosi, sentimen, retorika yang tinggi dan dengan hanya menggariskan pedoman-pedoman umum dan harapan supaya orang lain melakukannya saja. Pencernaan maksud Islam dalam pembangunan dan sistem harus bermula dengan keupayaan menjana ilmu yang integratif, kekuatan metodologi dalam pemahaman maslahah dan pendekatan fikah yang lebih utama.
> Bersifat sebagai suatu bangsa semata-mata tidak memandu untuk memberikan pedoman terbangunnya sebuah umat dalam erti kata yang luas. Apabila konsep umat dalam hubungan ummatan wasata dan khayra ummah, ianya memberikan landasan kepada umat Melayu untuk menjadi umat terbaik. Tidak salah Islam dimanifestasikan dalam sistem pembangunan di Malaysia kerana risalah yang dibawanya adalah untuk kesejahteraan umat manusia.
> Ketirisan yang berlaku dalam pelaksanaan dasar dan kecairan yang sedang menimpa generasi muda akibat kualiti diri tidak terbina berasaskan kekuatan dalaman yang membawa penghayatan terhadap insaf ke-Tuhanan (God-Consciousness). Sekiranya warga Melayu yang diberi amanah kepimpinan dan kepengikutan faham bahawa kepimpinan adalah suatu amanah atau taklif maka faktor adil wal ihsan sentiasa menjadi tunjang kekuatan.
Profesor Dr. Sidek Baba dilahirkan di Kg. Pulau, Masjid Tanah, Melaka pada 12 Jun 1946. Beliau menerima Sijil Perguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tg. Malim, Ijazah Sarjana Muda (Kepujian), Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), Diploma Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Sarjana Pendidikan Berbanding di Universiti Indiana, Bloomington, Amerika Syarikat dan Ijazah Doktor Pendidikan dalam Dasar Pendidikan di Universiti Northern Illinois, Amerika Syarikat.
Beliau pernah menjadi pendidik selama 18 tahun, pegawai dan pensyarah di Institut Aminuddin Baki, Timbalan Dekan dan Dekan Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Pemangku Dekan Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan dan Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Disiplin UIAM. Sekarang ini sebagai Profesor Pendidikan di Institut Pendidikan UIAM.
Beliau juga pernah menjadi Lembaga Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Lembaga Pengarah Darul Qur’an Malaysia, Lembaga Pengarah Jabatan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), IKMAS, Lembaga Penasihat Pendidikan Institut Integriti Malaysia, Lembaga Muafakat MARA dan Lembaga Akademi Ketamadunan.
Profesor Dr. Sidek Baba adalah penerima Anugerah Perdana Maulidir Rasul 2009.
No comments:
Post a Comment