Wednesday, April 8, 2009

Panorama Perak - Muzium Taiping

Disebabkan Muzium Taiping masih ditutup untuk tujuan pengubahsuaian maka tak banyak gambar yang dapat aku ambil.

Ini mungkin keretapi pertama yang digunakan di Taiping. Jalan keretapi pertama yang dibina di Malaysia (ataupun Tanah Melayu) ialah di Port Weld (sekarang namanya ditukar kepada nama asal iaitu Kuala Sepetang) pada tahun 1885 oleh kerajaan British untuk tujuan mengangkut bijih timah daripada lombong bijih timah ke pelabuhan.

Pengaut keluli kapal korek. Pengaut keluli ini adalah salah satu unit dari kapal korek bijih timah yang pernah beroperasi di daerah Larut antara tahun 1920 hingga 1940. Pengaut-pengaut keluli ini akan kelihatan seperti barisan talian tangga baldi di kapal korek dan bilangannya bergantung kepada saiz sesebuah kapal korek. Pengaut keluli ini merupakan komponen terpenting yang dikendalikan dengan roda bergerigi yang berputar menggunakan kuasa mekanikal dalam kapal korek bagi kerja-kerja pengorekan tanah di dasar lombong yang mengandungi bijih timah. Pengaut keluli ini akan berputar masuk dan terbenam ke dalam dasar kawasan lombong bijih timah serta bertindak mengaut dan menimba tanah yang bercampur dengan bijih timah. Selepas itu ia akan berputar naik ke pangkal pelongsor dalam badan kapal korek untuk proses pembersihan dan pengasingan bijih timah.

Jet tebuan yang pernah digunakan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) suatu masa dahulu.

Patung Robert Sandilands Frowd Walker. Patung ini pada asalnya terletak di kem Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Taiping yang berhadapan padang Esplanade. Patung R.S.F. Walker telah dibina hasil sumbangan wang oleh Sultan Perak dan Johor. R.S.F. Walker telah berkhidmat di negeri Perak dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu selama 31 tahun. R.S.F. Walker dilahirkan di Chestercastle pada 13 Mei 1850. R.S.F. Walker mendapat pendidikan awal di Brentwood School dan Royal Military College, Sandhurst, England. R.S.F. Walker menyertai 28th Gloucestershire Regiment pada tahun 1872 dan menyertai perkhidmatan polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1879 sebagai Pemangku Pesuruhjaya Polis serta berkhidmat sebagai Komander Malay State Guides pada tahun 1896. R.S.F. Walker juga pernah menjawat jawatan sebagai Pemangku Residen British di Selangor dan Penolong Residen British di Perak. Patung ini diperbuat dari tembaga dan tingginya adalah 7 kaki.

Bumbung yang digunakan sewaktu menunggang gajah.

No comments:

Post a Comment