Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menaiki takhta sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-14 menggantikan Tuanku Mizan Zainal Abidin. Baginda menaiki takhta pada 13 Disember 2011 dan ditabalkan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 11 April 2012. Baginda juga adalah Sultan Kedah yang ke-27.
Tuanku Abdul Halim adalah satu-satunya Sultan yang berpeluang ditabalkan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi kali kedua.
Baginda menduduki takhta Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-5 bagi tempoh 1970 hingga 1975, tempoh yang ditransisikan masing-masing oleh Tunku Abdul Rahman Putra dan Tun Abdul Razak Hussein sebagai Perdana Menteri pertama dan kedua. Tuanku Abdul Halim ialah anak saudara kepada Tunku Abdul Rahman.
Dalam konteks sejarah, Tuanku Abdul Halim juga menempa sejarah: Perdana Menteri dalam tempoh pemerintahan baginda ialah Tun Abdul Razak. Kini anakandanya, Datuk Seri Najib pula sebagai Perdana Menteri.
Baginda juga ialah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pertama yang mula bersemayam di Istana Negara baharu.
Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kelima pada tahun 1970, ketika negara berada di bawah pentadbiran Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang melahirkan beberapa dasar penting dalam membangunkan negara terutama Dasar Ekonomi baru (DEB) yang bertujuan membasmi kemiskinan serta menyusun semula masyarakat.
Ketika itu, Malaysia masih cuba bangkit selepas melalui detik hitam peristiwa 13 Mei 1969 yang merupakan kemuncak kepada masalah perpaduan kaum pada masa itu.
Tuanku Abdul Halim yang diputerakan pada 28 November 1927 mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Titi Gajah sebelum menyambung pelajaran di Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, Kedah.
Baginda kemudian menuntut di Wadham College, Oxford, London pada awal tahun 1952 dalam jurusan Sains Kemasyarakatan dan Pentadbiran Awam ketika menjadi Raja Muda Kedah.
Pada 9 Mac 1957, baginda dilantik Pemangku Sultan Kedah semasa ayahanda baginda, Sultan Badlishah berangkat ke luar negara pada 12 Mac dan pulang ke tanah air pada 3 Julai 1957.
Berikutan kemangkatan Sultan Badlishah, Tuanku Abdul Halim semasa berusia 35 tahun menaiki tahkhta Kedah pada 14 Julai 1958 dan ditabalkan sebagai Sultan Kedah pada 20 Februari 1959.
Pada Julai 2008, baginda menyambut perayaan Jubli Emas sempena ulang tahun ke-50 pemerintahan baginda.
Pada 21 September 1965, baginda dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang keempat oleh Majlis Raja-Raja manakala pada tahun 1970, Majlis Raja-Raja melantik baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong kelima.
Pada 13 Disember 2006, Tuanku Abdul Halim dilantik sekali lagi sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong dan pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja kali ke-226 yang bersidang pada 14 Oktober 2011 telah memilih baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 bagi menggantikan Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 pada 12 Disember 2011.
Pada 13 Disember 2011, sempena Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja kali ke-227, Tuanku Abdul Halim dengan rasminya diisytiharkan sebagai Yang di-Pertuan Agong bagi memerintah negara buat kali yang kedua.
sumber: Bernama, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim, Kosmo!
No comments:
Post a Comment