Pengikut dan Ex-smgrian

Wednesday, February 24, 2010

Loghat Perak 59

Belengko

Maksud: baring-baring/bermalas-malas

Contoh ayat: "Dari tadi mak tengok kamu asyik belengko aje, buku idak disentuh."

Ayat moden: "Dari tadi mak tengok kamu asyik berbaring saja, kenapa tak baca buku."



Tepeghongo

Maksud: terbuka luas/berlubang

Contoh ayat: "Ngape dibiorkan pintu tu tepeghongo, masuk ayam-ayam tu kaghang."

Ayat moden: "Kenapa biarkan pintu terbuka luas, nanti ayam-ayam tu masuk."

Sumber: Sinar Harian

Wednesday, February 17, 2010

Nostalgia Milli Vanilli

 

Milli Vanilli merupakan suatu fenomena yang pernah melanda SMGR sekitar awal 90'an dahulu (Milli Vanilli adalah fenomena dunia pada waktu itu).

Sebelum fenomena Rap dan Hip-Hop dicetuskan oleh Vanilla Ice dan MC Hammer, Milli Vanilli terlebih dahulu menjengah ke hati muda-mudi ketika itu dan digilai oleh remaja termasuk juga Mat-Mat Rock.  Kemungkinan imej Milli Vanilli yang berambut ala-ala Dreadlock dan berseluar Jeans koyak lebih disenangi oleh Mat-Mat Rock berbanding kemunculan NKOTB, Vanilla Ice dan MC Hammer tidak berapa lama kemudian dengan imej berambut pendek kemas, memakai seluar labuh dan besar yang boleh memuatkan 10 orang budak agak kurang diminati oleh Mat-Mat Rock.

Milli Vanilli merupakan sebuah kumpulan yang dianggotai oleh dua orang penyanyi iaitu Fab Morvan dan Rob Pilatus.  Milli Vanilli sebenarnya ditubuhkan oleh penerbit album Frank Farian dari Jerman. 

Frank Farian terjumpa Fab Morvan dan Rob Pilatus di sebuah disko di Berlin.  Frank Farian mendapati Morvan dan Pilatus mempunyai gaya yang fotogenik, tambahan pula kedua-duanya adalah model dan pandai menari.  Dia menawarkan mereka kontrak rakaman dan menubuhkan sebuah kumpulan duet yang bernama Milli Vanilli.

Album pertama Milli Vanilli berjudul All or Nothing dikeluarkan di Eropah pertengahan tahun 1988 yang menandakan kemunculan pertama Milli Vanilli.  Disebabkan oleh sambutan hangat terhadap album itu maka Arista Record di Amerika Syarikat telah menawarkan kontrak rakaman kepada mereka berdua, dan Milli Vanilli pergi ke Hollywood untuk album baharu bersama Arista Records.  Arista Records telah membuang beberapa lagu daripada album lama Milli Vanilli dan menambah beberapa lagu termasuk Blame It on the Rain ciptaan Diane Warren.  Judul album juga ditukar daripada All or Nothing kepada Girl You Know It's True.

 

Album tersebut mendapat anugerah platinum sebanyak 6 kali di samping lagu-lagunya seperti Baby Don't Forget My Number, Girl I'm Gonna Miss You, Girl You Know It's True dan Blame It on the Rain telah menduduki tempat teratas di dalam carta seperti Billboard 100 dan America's Top 40.  Milli Vanilli juga mendapat beberapa anugerah di dalam Grammy Awards dan American Music Awards.

Namun kegemilangan Milli Vanilli tidak bertahan lama apabila mereka didakwa melakukan lip-sync iaitu hanya menggerakkan bibir setiap kali persembahan manakala lagu-lagu mereka dinyanyikan oleh penyanyi lain.  Semuanya bermula sewaktu mereka mengadakan persembahan secara langsung di MTV sekitar tahun 1989 di mana sewaktu sedang menyanyikan lagu Girl You Know It's True, pemain rekod yang memainkan lagu itu telah rosak dan perkataan Girl, you know it's .... diulangi beberapa kali.  Pada mulanya mereka cuba untuk menari dan berbuat seolah-olah ianya adalah suatu gimik, namun kemudian mereka lari meninggalkan pentas.  Perbuatan mereka juga sebenarnya tidak mendapat reaksi daripada penonton yang menyangkakan ianya salah satu dari aksi persembahan.

Namun kritikan daripada wartawan hiburan dan media menyebabkan Rob dan Fab diburu untuk mendapatkan penjelasan tentang apa yang berlaku.  Setelah Frank Farian membuat pengakuan secara lansung kepada media pada tahun 1990, bahawa Morvan dan Pilatus tidak pernah menyanyi langsung di dalam album tersebut, menyebabkan anugerah Grammy yang dimenangi mereka ditarik balik.  American Music Awards bagaimanapun tidak menarik balik anugerah yang dimenangi oleh Milli Vanilli kerana berpendapat sekalipun mereka tidak menyanyi mereka tetap menyumbang kepada industri muzik.  Arista Records pula menggugurkan album Girl You Know Its True daripada katalog mereka dan menghentikan percetakan album tersebut.

Pilatus, Morvan dan Arista Records didakwa dibawah Akta Perlindungan Penipuan terhadap Pengguna Amerika Syarikat (US Consumer Fraud Protection Laws) di mana mereka perlu membayar semula ganti rugi kepada pembeli-pembeli album Girl You Know Its True.

Disebabkan pembikinan album kedua Milli Vanilli telah pun dibuat ketika kontroversi sedang melanda Milli Vanilli, menyebabkan Frank Farian terpaksa menerbitkan album tersebut dengan nama The Real Milli Vanilli.  Untuk album ini ia menyatakan penyanyi sebenar yang telah menyanyikan lagu-lagu hits Milli Vanilli sebelum ini iaitu Brad Howell, John Davis, Ray Horton dan Gina Mohammed.  Sambutan untuk album ini tetap menggalakkan di mana single daripada album ini iaitu Keep on Running telah menduduki tempat keempat di Carta Lagu Jerman.

Setelah Morvan dan Pilatus digugurkan dari Milli Vanilli, mereka berpindah ke Los Angeles dan menandatangani kontrak bersama Joss Entertainment Group, mengeluarkan album pertama mereka bersama syarikat itu iaitu Rob & Fab.  Lagu-lagu yang dimuatkan dalam album ini dicipta dan ditulis oleh Kenny Taylor dan Fabrice Morvan sendiri.  Mereka juga menyanyikan sendiri lagu-lagu di dalam album ini.  Bagaimanapun disebabkan oleh kurang publisiti dan strategi pemasaran yang tidak berkesan menyebabkan album ini tidak mendapat sambutan.

Rob Pilatus

Pada tahun 1997, Frank Farian bertemu semula dengan Fab Morvan dan Rob Pilatus lalu menerbitkan album comeback Milli Vanilli berjudul Back and in Attack.  Namun Pilatus ketika ini mengalami kemurungan dan terbabit dengan beberapa masalah sosial seperti penyalahgunaan dadah.  Pilatus juga terlibat dengan beberapa kes rompakan bersenjata dan dihukum penjara selama tiga bulan di California.  Farian kemudian menghantar Pilatus ke pusat pemulihan dadah dan membiayai perbelanjaan pulang Pilatus ke Jerman.  Pada 2 April 1998, Rob Pilatus ditemui mati di sebuah hotel di Frankfurt.  Punca kematian disebabkan oleh pengambilan dadah dan alkohol yang berlebihan dan pihak polis mengklasifikasikan sebagai kes bunuh diri.  Pilatus ketika itu berusia 32 tahun.

Fab Morvan

Fab Morvan kemudian menjadi sessionist dan juga sebagai DJ radio.  Pada tahun 2003, Fab Morvan mengeluarkan album solo pertamanya berjudul Love Revolution.  Album ini dijual melalui online dan hanya dapat diperolehi melalui laman web www.fabricemorvan.com.  Single daripada album ini iaitu Roll dan Time Will Reveal boleh didengari di laman profil Fab Morvan di MySpace.

Fab Morvan kini dalam perancangan untuk filem pertamanya bersama Universal Pictures.  Skrip dan lakon layar filem ini ditulis oleh Jeff Nathanson, yang sebelum ini pernah menulis untuk filem Catch Me If You Can arahan Steven Spielberg.  Filem ini mengisahkan tentang kisah suka duka Rob dan Fab termasuk kontroversi yang melanda Milli Vanilli.  Barisan pelakon yang akan membintangi filem ini masih tidak diketahui.

Sumber: wikipedia

Kampung Kubang Chandung


View Larger Map



Kampung Kubang Chandung dalam mukim Bota daerah Perak Tengah terletak di sebelah kanan Sungai Perak.

Asal sejarah kampung ini bermula dengan paya.

Penduduk kampung terpaksa mengharungi satu paya untuk pergi ke tanah tanaman mereka.

Ketika dalam pembinaan, chandung yang diguna untuk membina titi terjatuh ke dalam paya.

Chandung itu dijumpai dua tahun selepas pembinaan titi itu dan kampung tersebut dinamakan Kampung Kubang Chandung.  Kampung ini terletak satu kilometer dari Bota Kanan.  Terdapat seramai 1,195 penduduk mendiami kampung ini mengikut perangkaan sehingga pada tahun 1999.

Kesemua penduduknya terdiri daripada Melayu dan mempunyai lebih daripada 1,000 buah rumah.  Sumber pendapatan penduduk kampung daripada industri pertanian seperti koko, pisang, kelapa sawit, padi dan getah.  Selain itu, terdapat juga pekerja kilang dan segelintir yang berniaga di kedai runcit.

Sumber: wikipedia

Thursday, February 11, 2010

Kampung Talang Durian Sebatang


View Larger Map

Kampung Talang Durian Sebatang terletak di Lambor Kanan.

Menurut cerita orang dulu-dulu, kampung berkenaan diberi nama sedemikian rupa kerana pada zaman dahulu terdapat tanah sawah yang terletak jauh daripada penempatan orang ramai.

Sebahagian daripadanya diusahakan oleh orang kampung manakala sebahagian daripadanya dibiarkan sahaja.  Mengikut bahasa orang Perak, tanah yang terletak jauh daripada penempatan orang dipanggil sebagai 'menualang' ataupun maksudnya jauh.

Di kampung itu juga terdapat sebatang pokok durian dan dari situlah penduduk kampung bersepakat untuk meletakkan nama kampung berkenaan sebagai Kampung Talang Durian Sebatang.

Sumber: Sinar Harian

Kampung Sementa


View Larger Map

Kampung Sementa terletak berhampiran Kampung Kuala Kenas.

Kebanyakan penduduknya bekerja sebagai penoreh getah.

Pada asalnya kampung ini dijadikan penempatan sementara bagi orang-orang yang berhijrah.

Disebabkan kedudukan yang strategik dan berhampiran Sungai Perak, kampung ini dijadikan tempat tinggal tetap dan diberikan nama Sementa.

Bilangan rumah yang terdapat di kampung ini juga semakin berkurangan kerana anak-anak sudah berhijrah keluar untuk mencari pekerjaan.

Sumber: Sinar Harian

Muzium Gopeng

Tin Milo lama, antara barang antik yang dipamerkan di Muzium Gopeng (imej dari kuchairies.blogspot.com)

Muzium ini mempamerkan kira-kira 300 barang antik yang pernah digunakan generasi dahulu di Gopeng sejak 150 tahun lalu.

Sesuai dengan statusnya sebagai bekas kawasan perlombongan bijih timah dan getah utama di Lembah Kinta, pengunjung muzium boleh melihat mesin yang pernah digunakan untuk kerja memproses bijih timah dan getah.

Turut dipamerkan ialah radio, mesin jahit, basikal, pelbagai mata wang lama, jam tangan dan dinding, alat penimbang, carta aliran sejarah Gopeng dan tokoh terkenal yang dilahirkan di pekan itu selama tiga generasi.

Sumber: Sinar Harian

Loghat Perak 58

Penyegan

Maksud:pemalas

Contoh ayat: "Ape hey penyegan beno kamu ni Shah, dari tadi idak mandi-mandi."

Ayat moden: "Kenapa pemalas sangat kamu ni Shah, sejak tadi belum mandi lagi."

Sumber: Sinar Harian

Loghat Perak 57

Jenuh

Maksud: puas/lama

Contoh ayat: "Aii, mana ke si Yong ni?  Janji pukui tiga, sekaghang udah pukui lima, jenuh teman nunggu."

Ayat moden: "Mana Yong ni?  Janji pukul tiga tapi sekarang sudah pukul lima, lama betul saya tunggu."


Kokak

Maksud: gigit

Contoh ayat: "Abih rabik seluor teman kena kokak dek anjen tadi."

Ayat moden: "Habis koyak seluar saya digigit anjing tadi."

Sumber: Sinar Harian

Wednesday, February 3, 2010

Loghat Perak 56

Kayo

Maksud: ke tandas

Contoh ayat: "Ish sakit peghut pulak tetiba, mike tunggu teman nak kayo dulu."

Ayat moden: "Ish tiba-tiba pulak saya sakit perut, awak tunggu dulu saya hendak ke tandas."


Tenang (sebutan tei-nang)

Maksud: perhati

Contoh ayat: "Jaga ikan-ikan teman ni, dari tadi kucin tu dok tenang aje besen tu."

Ayat moden: "Jaga elok-elok ikan ni, dari tadi kucing itu asyik perhatikan besen."

Sumber: Sinar Harian

Tuesday, February 2, 2010

Loghat Perak 55

Ghunaih

Maksud: cabut/buang daun

Contoh ayat: "Buat apa kamu ghunaih pokok bunga aku tu, penat aku bela."

Ayat moden: "Kenapa kamu cabut daun-daun pokok bunga saya, penat saya menjaganya."


Getu

Maksud: cubit

Contoh ayat: "Jangan buat bising dekat sini, mak getu ponggong tu nanti."

Ayat moden: "Jangan buat bising di sini, mak cubit punggung tu nanti."

Sumber: Sinar Harian

Kampung Benteng


View Larger Map

Kampung Benteng mendapat nama sempena penghijrahan penduduk Minangkabau yang melindungi diri daripada musuh.

Mereka melarikan diri ke kawasan berbukit dan merentasi Sungai Kenas.

Disebabkan keadaan mereka yang selamat daripada dikesan oleh musuh, mereka menjadikan kampung ini sebagai tempat tinggal kerana kedudukannya strategik dan berhampiran sungai.

Mereka memberi nama Kampung Benteng yang bermaksud pertahanan dan selamat untuk didiami.

Bilangan rumah yang terdapat di kampung itu dianggarkan 32 buah.

Majoriti penduduk bekerja sebagai penoreh getah.

Sumber: Sinar Harian

Kapal Korek TT5

 

Kapal Korek T T 5 atau Kapal Korek Bijih Timah berada lebih kurang empat kilometer menghala ke Tanjung Tualang dari Batu Gajah.

Pengunjung boleh mengunjungi kesan tinggalan kapal korek ini di Batu 5, Jalan Tanjung Tualang, Batu Gajah.

Tinggalan ini adalah di bawah kawal selia Jabatan Antikuiti dan Muzium Perak.

Kapal ini berkeluasan 35 meter lebar dan 75 meter panjang serta berketinggian lima tingkat malah mampu menempatkan 90 orang.

Kapal ini mula beroperasi pada 1938 hingga 1992 di mana nilai pembinaannya mencecah RM30 juta dan mula beroperasi di Malim Nawar serta perhentian terakhir di Batu 6, Jalan Tanjung Tualang.

Sumber: Sinar Harian

Monday, February 1, 2010

AC di mana? AC di Ipoh

Hari Sabtu yang lalu aku berkesempatan menghadiri satu seminar menjana pendapatan yang dianjurkan oleh AC Konsortium Sdn. Bhd.  Seminar tersebut telah diadakan di Bangunan UMNO, Jalan Gopeng (berhampiran Hotel Casuarina).

Seminar tersebut telah disampaikan oleh tiga selebriti terkenal iaitu pelakon Zuraini Kassim, bekas vokalis kumpulan Damasutra iaitu Bahagia atau lebih dikenali sebagai Bagio (sama ada sebutan Rawa ataupun sempena nama Roberto Baggio) dan juga oleh AC Mizal.

Penyampaian AC Mizal memang menghiburkan

Aku tidak mahu menyentuh tentang produk yang dipasarkan oleh AC Konsortium di sini cuma aku ingin memperkatakan tentang AC Mizal.  Semua orang tahu siapa AC Mizal, seorang selebriti yang pernah menjadi anggota kumpulan rap 4U2C di penghujung tahun 90-an dahulu.  AC Mizal juga pernah menjadi pelakon apabila kumpulan 4U2C berpecah.  Kemudian berbagai cerita yang timbul tentang AC Mizal khususnya mengenai konflik rumahtangganya.

Terus terang aku katakan, AC suatu ketika dahulu bukanlah merupakan artis kegemaran aku.  Gaya dan fesyennya sewaktu menyertai 4U2C dahulu memang menjengkelkan aku.  Namun kini aku agak kagum dengan perubahan yang ada pada AC Mizal.  AC Mizal tampil pada malam itu dengan agak kemas, menampakkan dirinya sebagai seorang usahawan, tidak lagi memakai baju hujan atau topi terbalik dan menggantungkan cakera padat besar di lehernya.

Bagio seolah-olah seorang guru sekolah


Aku juga kagum dengan kepetahannya bercakap, menerangkan tentang produk yang dipasarkannya.  Begitu juga dengan penyampaian Bagio dan Zuraini Kassim, tidak mengecewakan.  Pengalaman mereka sebagai pelakon dan penghibur kini dimanfaatkan untuk bidang perniagaan dan keusahawanan pula.

Yang paling mengujakan aku apabila aku berpeluang berborak bersama Bagio.  Loghat Perak Bagio yang sungguh pekat meskipun sudah agak lama Bagio menetap di KL.  Bagio sebenarnya anak jati Perak di mana kampung halamannya ialah di Tronoh, begitu juga dengan isteri AC iaitu Emilia Rosnaida yang dibesarkan di Batu 8, Ulu Kinta.  Aku kurang pasti dengan Zuraini Kassim namun menurutnya dia sering datang ke Tambun, mungkin ada saudara mara di sana.  Cuma AC Mizal bukan berasal dari Perak.

Difahamkan pada waktu petang sebelum seminar tersebut, AC Konsortium telah menyerahkan zakat kepada penduduk miskin di sekitar Ulu Kinta dan Tanjong Rambutan. 

 

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang AC Konsortium dan produk mereka, sila klik sini.

Loghat Perak 54

Kelolo

Maksud: kelakar/perangai gila-gila

Contoh ayat: "Boleh tahan juga kelolo anak mike ni ye.  Penat teman melayan".

Ayat moden: "Boleh tahan juga kelakar anak kamu ni, penat saya melayannya".


Labang

Maksud: pekak/tidak dengar

Contoh ayat: "Jenuh dah teman panggey idak dia nak noleh, udah labang gamaknya".

Ayat moden: "Berkali-kali saya panggil tapi dia lansung tak menoleh, pekak agaknya".

Sumber: Sinar Harian

Ghazal Parti

 

Ghazal adalah persembahan muzik dan nyanyian lagu Melayu yang bertemakan kasih sayang.  Ghazal berasal daripada muzik Arab yang wujud sejak zaman jahiliah.

Dalam bahasa Arab, ghazal bermaksud lagu dan puisi kasih, manakala dalam masyarakat Melayu, ghazal mempunyai pelbagai fungsi antaranya sebagai alat hiburan untuk meraikan upacara berkhatan dan perkahwinan dengan persembahan nyanyian dan diiringi muzik.

Dalam persembahan ghazal parti, akhir tahun 1940-an di utara tanahair pada masa itu, wanita tidak dibenarkan menjadi penari.  Ini dilarang sendiri oleh Allahyarham Ahmad Badawi iaitu bapa kepada mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Lelaki yang menjadi penari gelek kepada lagu berirama padang pasir yang dimainkan, tetapi penari lelaki ini dipakaikan pakaian wanita.

Tujuan diadakan tarian ala wanita ini ialah sebagai tarikan kepada penonton untuk meramaikan dan memeriahkan setiap persembahan yang diadakan pada masa itu.

Pakaian wanita yang dipakai oleh penari ini ialah tudung, kain batik dan baju kurung.  Mak Nyah atau pondan hanya muncul di tahun 1950-an sebagai penari.

Pada tahun 1970-an, persembahan ghazal parti sudah tidak menggalakkan penari, tetapi sekarang terdapat beberapa persembahan mengambil semula penari kerana ianya sudah menjadi sebuah warisan untuk dipertontonkan kepada generasi sekarang.

Sumber dan imej: warisanghazalparti.blogspot.com

Kampung Air Mati Sedingka


View Larger Map

Kampung Air Mati Sedingka, Bota diambil namanya pada zaman dahulu yang dikelilingi sungai.

Keadaan itu menyebabkan tiada jalan keluar melalui kampung berkenaan dan sempena dari peristiwa itu orang dahulu kala menamakan kampung berkenaan sebagai Kampung Air Mati Sedingka.

Penduduk kampung berkenaan mempunyai 200 penduduk dan kebanyakannya bekerja sebagai petani.

Sumber: Sinar Harian

Loghat Perak 53

Jebah

Maksud: tembam (khusus untuk muka)

Contoh ayat: "Aii, udah lama tak jumpa, lain benor ghope mike Mahani, udah jebah".

Ayat moden: "Dah lama tak jumpa, lain benar nampaknya kamu Mahani, muka pun dah naik tembam".


Bundut

Maksud: bungkusan kain/barang yang dibungkus dengan kain

Contoh ayat: "Apa ke bendanya yang berbundut-bundut dalam motokar mike tu?"

Ayat moden: "Apakah barang yang berbungkus dalam kereta kamu tu?"

Sumber: Sinar Harian