Pengikut dan Ex-smgrian
Monday, August 25, 2014
Lelaki tertekan akibat faktor hubungan
Lelaki yang sukar untuk berdiplomasi dalam hubungannya sama ada hubungan cinta, suami isteri atau kekeluargaan lainnya akan mudah tertekan.
Beranggapan diri sebagai ketua keluarga, ego yang tinggi meletakkan dirinya sebagai perlu berada di tahap yang tinggi, tidak boleh dipandang rendah atau lemah.
Kekerasan melampau membuatkan lelaki seperti ini sukar didekati dan ditakuti.
Apabila tiba satu peringkat, ketakutan orang lain akan berubah menjadi tidak hormat dan mula melawan maka menambahkan tekanan kepada si lelaki (suami atau ayah).
Lelaki yang tidak menerima layanan seksual sewajarnya juga mudah tertekan.
Sikap tidak berdiplomasi dengan isteri menyukarkan lagi hubungan intimasi suami isteri yang akan menambahkan lagi tekanan kepada dirinya.
Sumber: Artikel Bahaya apabila lelaki stres oleh Suzana Ghazali, Kosmo! 18 Januari 2013
Friday, August 22, 2014
Stres
Stres atau berada dalam keadaan tertekan boleh difahami sebagai keadaan jiwa atau emosi yang mengalami pergolakan dan kegelisahan yang amat dalam.
Dalam A Dictionary of Human Behavior, stres atau tekanan atau keadaan tertekan ditakrifkan sebagai ketegangan fizikal dan psikologi yang berpanjangan untuk suatu masa, yang boleh menggugat keupayaan seseorang untuk mengendali suatu situasi.
Ahli psikologi Islam seperti al-Ghazali, al-Razi, Muhammad Uthman Najati, Muhammad 'Izudin Taufik, Samih Atif al-Zin dan Hassan Langulung mentafsirkan stres sebagai tekanan emosi dari sudut kegelisahan jiwa atau emosi manusia seperti gelisah, kecewa, bimbang keterlaluan dan takut.
Emosi itu wujud kerana hati manusia tidak beriman kepada Allah.
Di samping itu, tekanan juga dikaitkan dengan penyakit hati seperti hasad dengki, sombong, ujub dan riak.
Realitinya, stres atau tekanan memang tidak boleh dipisahkan daripada hidup manusia.
Bezanya adalah sama ada stres dialami itu adalah stres biasa atau stres yang luar biasa.
Pakar psikologi berpendapat, stres yang biasa iaitu stres yang sihat adalah perlu dan penting dalam usaha meningkatkan kematangan fikiran dan taraf hidup seseorang.
Sebaliknya, stres luar biasa atau stres melampau mampu memberikan impak negatif, bukan saja kepada diri individu yang sedang menghadapi stres tersebut malah boleh berjangkit membahayakan kehidupan orang lain terutamanya mereka yang berada di sekelilingnya.
Punca utama adalah sifat ego yang tinggi menyebabkan mereka ini enggan berkongsi masalah atau kekalutan yang sedang dialami.
Masalah dan kekalutan ada ketikanya berpunca daripada ahli keluarga sendiri sama ada isteri, anak, ibu bapa malah sanak saudara dan rakan-rakan.
Ada juga berpunca daripada teman wanita. Mereka ini dikaitkan pula dengan masalah kewangan atau kerjaya.
Secara mudah, tiga punca lelaki tertekan disebabkan faktor hubungan, kewangan dan konflik dalam diri.
sumber: Artikel Bahaya apabila lelaki stres oleh Suzana Ghazali, Kosmo! 18 Januari 2013
Thursday, August 21, 2014
Tip kurangkan tekanan bagi lelaki
Penting bagi seseorang lelaki untuk mengkaji apakah jalan terbaik untuk keluar daripada permasalahan yang menyebabkan berlaku tekanan itu. Pastikan juga jalan penyelesaian yang diambil tidak memakan diri serta menyusahkan orang lain. Antaranya:
Berfikiran positif.
Percaya tidak ada masalah tanpa jalan penyelesaian dan anda perlukan orang lain untuk membantu anda menyelesaikan masalah anda.
Menilai diri.
Ketokohan anda sebagai lelaki bukan dinilai berdasarlan keupayaan anda mengendalikan masalah secara sendirian sebaliknya kepercayaan anda kepada insan tersayang di sekeliling anda membuatkan anda akan lebih dihormati.
Uruskan masalah.
Setiap masalah biarpun kecil dan remeh perlu diselesaikan sejak awal. Jangan biarkan masalah menjadi bertambah besar, kesannya akan lebih besar dan buruk.
Kawal ego dan emosi
Percaya kepada Allah yang memberikan ujian dan hanya Dia yang ada jalan penyelesaiannya. Jangan terlalu pentingkan ego dan emosi sebagai lelaki sebaliknya bersikap toleransi, berdiplomasi dan sentiasa utamakan Dia dalam segala perkara.
- Kosmo!
Wednesday, August 20, 2014
Kristiane Backer
Kristiane Backer ialah seorang pengacara TV berketurunan Jerman tetapi menetap di London, England.
Beliau memeluk agama Islam pada tahun 1995 ketika namanya dijulang sebagai penyampai saluran hiburan MTV.
Beliau telah menerima reaksi negatif berikutan tindakannya memeluk agama Islam.
Beliau telah dibuang daripada mengendalikan rancangan televisyen dan tidak dibenarkan untuk menyebut tentang Islam sekiranya masih ingin menjadi pengacara TV.
Ketika berusia 40 tahun beliau telah mengerjakan fardu haji di Mekah.
Beliau juga telah menulis pengalamannya sepanjang memeluk Islam di dalam buku berjudul From MTV to Mecca - How Islam Changed My Life yang diterbitkan pada tahun 2009.
sumber: Artikel Makna Ramadan kepada 2 penulis Barat oleh Hafizah Iszahanid, BH 29 Julai 2013.
Monday, August 18, 2014
Fatwa melarang wanita Islam dari menyertai pertandingan ratu cantik
Fatwa dikeluarkan di bawah Seksyen 34 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 melarang orang Islam menyertai pertandingan ratu cantik.
Fatwa menyatakan haram dan berdosa orang Islam menyertai atau menganjurkan atau menyumbangkan apa-apa bentuk sumbangan untuk penganjuran apa-apa pertandingan ratu cantik.
Selepas fatwa dikeluarkan, Rahima Orchient Yayah adalah peserta Melayu terakhir yang memenangi Miss Malaysia World 1994 dan sebelumnya Erra Fazira pada 1992.
Isu penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik mendapat perhatian semula apabila tiga gadis Melayu menyertai pertandingan itu di Selangor pada 1997.
Pada 2011, lima wanita Islam menyertai pertandingan Ratu Cantik Borneo (MBB) 2011 di Kuching, Sarawak walaupun sudah diberi kaunseling oleh Jabatan Agama Islam Sarawak.
Pada 2013 pula, empat gadis Islam antara 20 peserta yang dipilih sebagai finalis pertandingan Miss Malaysia World 2013.
- BH
Kredit imej: Jain Yusof
Friday, August 15, 2014
Keharmonian antara agama
Agama Persekutuan
Berdasarkan kepada Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan bahawa Islam adalah Agama Persekutuan atau dimaksudkan juga sebagai Agama Negara.
Bagaimanapun, agama lain boleh diamalkan di Malaysia dengan aman dan damai.
Agama Islam juga telah mengajar umatnya bagaimana untuk menghormati dan melindungi hak-hak kemanusiaan merentasi bangsa, warna kulit dan agama.
Pengajaran paling penting adalah kita dilarang berlaku tidak adil terhadap mana-mana pihak hanya disebabkan perbezaan agama dan budaya.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud:
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antaramu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya."
Harmoni
Sirah Rasulullah SAW telah menunjukkan bahawa pendekatan agama memainkan peranan yang besar dalam toleransi beragama.
Rasulullah SAW ketika merangka Piagam Madinah, Baginda telah mengikut bimbingan wahyu dan berdasarkan norma-norma masyarakat Madinah ketika itu.
Dalam Piagam Madinah telah termaktub bahawa sesiapa yang hidup dan tinggal di wilayah Madinah, baik Islam atau bukan Islam, dengan syarat tidak berbuat zalim, khianat dan huru hara, maka hendaklah mereka dilindungi dan diberi keamanan di bawah kekuasaan Islam yang suci.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dengan maksudnya:
"Sesiapa yang menyakiti orang bukan Islam yang berada di bawah perlindungan Islam, maka dia telah menyakiti aku, dan sesiapa yang menyakiti aku, maka dia telah menyakiti Tuhan."
Begitu juga dengan apa yang diriwayatkan daripada Jabir Abdullah RA, katanya:
"Satu jenazah lalu di hadapan kami (para sahabat), maka Rasulullah SAW berdiri. Lalu kami pun turut berdiri. Kami berkata kepada Rasulullah SAW “Ya Rasulallah, itu adalah jenazah yahudi”. Sabda Rasulullah SAW “apabila kamu melihat jenazah, maka berdirilah." - Hadis Riwayat al-Bukhari.
Hadis ini memberi isyarat bahawa Islam menggalakkan umatnya menghormati semua agama dan kaum, kerana Islam menuntut kita supaya saling hormat menghormati dan bersikap lebih sopan santun serta berjiwa kemanusiaan sesama manusia yang lain.
Menurut Ibnu Taimiyah di dalam kitabnya Fatawa Ibn Taimiyah bahawa:
"Kesejahteraan umat manusia tidak dapat diwujudkan di dunia maupun di akhirat, kecuali mereka bergabung menjadi sebuah masyarakat, bekerjasama dan saling tolong menolong untuk menciptakan kesejahteraan dan mencegah kesengsaraan."
Ancaman
Terdapat usaha yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu yang sengaja kelihatan mahu menggugat keharmonian serta toleransi antara agama.
Umat Islam hari ini diserang dan diancam dengan pelbagai isu akidah seperti ada yang mendakwa dirinya diangkat menjadi rasul, memiliki kerajaan yang memerintah dari langit, mendakwa dirinya sebagai Tuhan, mendakwa solat sempurna hanya dengan berniat sahaja dan solat hanya wajib untuk tiga waktu sahaja.
Selain itu kita juga diancam dengan isu kalimah Allah oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke-82 yang bersidang pada 5 hingga 7 Mei 2008 telah membahaskan Isu Tuntutan Penggunaan Kalimah Allah oleh bukan Islam.
Muzakarah telah memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.
Oleh itu menjadi kewajipan bagi seluruh umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Kalimah Allah merupakan lafaz suci yang perlu dijaga dan dipelihara kesuciannya kerana ianya berkait rapat dengan akidah.
Sebagai umat Islam yang beriman kita perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini.
Sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah tersebut semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain hanya akan mendatangkan mudharat yang lebih besar kepada agama dan umat Islam.
Oleh itu, marilah kita bersama-sama menjaga kesucian dan identiti agama kerana bersikap terlalu terbuka sehingga membenarkan perkara-perkara yang melibatkan dasar akidah dan tauhid disalahgunakan oleh agama lain adalah amat merbahaya kerana matlamat utama mereka menggunakan kalimah Allah adalah untuk mengelirukan umat Islam dan kemudiannya mendakwa bahawa semua agama adalah sama.
Ingatlah bahawa semua gejala kerapuhan akidah ini sebenarnya akan menjatuhkan kemuliaan dan darjat umat Islam sendiri.
Akibat yang lebih buruk ialah azab siksa yang pedih di akhirat yang menanti golongan yang ingkar.
Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 72 yang bermaksud:
"Sesungguhnya telah kafirlah orang yang berkata: Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam. Padahal al-Masih sendiri berkata: Wahai Bani Israil!. Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang yang berlaku zalim."
Toleransi
Sebagai umat Islam kita dituntut bertoleransi di bawah norma dan etika hidup beragama.
Namun perlu diingat, toleransi yang dimaksudkan bukanlah bererti kita mengakui doktrin keyakinan mereka kerana di dalam persoalan akidah, agama Islam tidak sama sekali berkompromi dengan kekufuran atau kesyirikan.
Toleransi yang dimaksudkan oleh Islam ialah kita tidak melampaui batas dalam perkara yang telah dipersetujui.
Sikap melampaui batas sebenarnya akan menjadi pemangkin kepada kecelaruan minda dan perpecahan masyarakat yang seterusnya akan melemahkan kestabilan sosio-politik negara.
Umat Islam hendaklah sentiasa bersikap terbuka dan saling hormat menghormati antara satu sama lain.
Pihak bukan Islam usahlah mempertikaikan perkara yang telah termaktub di dalam Perlembagaan dan dipersetujui bersama serta mempertikai hak-hak eksklusif orang Islam.
Pihak yang berkuasa hendaklah menangani isu ini dengan penuh berhemah agar mereka yang cuba memporak-perandakan pegangan dan akidah umat Islam akan menyedari dan insaf bahawa usaha-usaha mereka itu sebenarnya tidak akan membawa kepada keharmonian dan kesejahteraan hidup dalam sebuah negara yang berdaulat.
Sebenarnya, perjuangan bagi mempertahankan dan menegakkan agama Allah serta hak-hak eksklusif umat Islam merupakan perjuangan yang suci yang dijamin mendapat pertolongan serta bantuan daripada Allah SWT.
Oleh itu, sebagai umat Islam kita wajib menolak segala bentuk atau konsep tuhan yang lain daripada Allah SWT.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Ikhlas ayat 1 - 4 yang bermaksud:
"Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang setara dengan-Nya."
Unggul
Mewujudkan keharmonian antara penganut agama adalah sebagai jalan penyelesaian terhadap konflik yang berlaku antara penganut agama di seluruh dunia, umat Islam hendaklah mengeratkan silaturrahim sesama kita.
Kita bertanggungjawab untuk mengekalkan keharmonian dan sebab itulah kita perlu mencegah lebih awal anasir-anasir yang boleh menggugat keamanan serta menolak sebarang unsur yang boleh memecahbelahkan perpaduan antara kaum dan agama.
Ingatlah bahawa agama Islam senantiasa unggul dan ianya akan terus unggul (Al-islamu ya’lu wala yu’la ‘alaih).
Marilah sama-sama kita meletakkan perhambaan kita kepada Allah SWT dalam segenap kehidupan dengan mengabdikan diri kita dengan sebenar-benarnya kepada Allah SWT dan menjaga akidah kita daripada terpesong jauh dari landasan yang digariskan oleh Allah SWT.
Sehubungan dengan ini, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam surah al-Isra’ ayat 41 yang bermaksud:
"Dan sesungguhnya Kami telah menerangkan jalan-jalan menetapkan i’tiqad dan tauhid dengan berbagai cara di dalam Al-Qur’an ini supaya mereka beringat (memahami dan mematuhi kebenaran); dalam pada itu, penerangan yang berbagai cara itu tidak menjadikan mereka melainkan bertambah liar."
sumber: e-khutbah JAKIM
Thursday, August 14, 2014
Sanggul lintang Melaka
Sanggul lintang Melaka adalah merupakan sejenis sanggul atau perhiasan kepala tradisi wanita Melaka.
Sanggul yang dijadikan perhiasan oleh kerabat Kesultanan Melayu Melaka kini menjadi simbol raja sehari kerana sering dipakai oleh pengantin perempuan sewaktu acara perkahwinan dan persandingan.
Mengikut kepercayaan, setiap lapisan sanggul lintang yang dipakai mewakili nilai tanggungjawab si isteri kepada suaminya.
Sanggul lintang asli diperbuat daripada besi jenis kuprum dan dicelup dengan lapisan emas nipis bagi mengelakkan proses pengaratan daripada berlaku.
Sanggul lintang moden biasanya lebih ringan kerana diperbuat daripada aluminium dan biasanya telah dilekatkan melalui proses patri.
Terdapat beberapa elemen yang dicedok daripada adat dan tradisi kaum Baba dan Nyonya pada sanggul lintang Melaka.
Beberapa pantang larang perlu dipatuhi ketika memasang sanggul lintang kepada pengantin perempuan.
Proses pemasangan sanggul lintang hanya boleh dilakukan di atas loteng rumah pengantin perempuan.
Setelah siap semuanya barulah pengantin perempuan akan dibawa turun ke bilik sambil menanti ketibaan pengantin lelaki.
Pengantin perempuan juga tidak dibenarkan bercakap dengan tetamu kerana khuatir ia meningkatkan perasaan gemuruh.
sumber: Artikel Hiasan tradisi raja sehari oleh Muhammad Izwan Mohd. Isa, Kosmo! 17 Januari 2013, http://sayangmelaka.blogspot.com.
Kredit imej: sayangmelaka.blogspot.com
Wednesday, August 13, 2014
Mulut berbau
Nafas atau mulut berbau boleh mengurangkan keyakinan seseorang untuk berkomunikasi dengan orang lain. Tambahan pula, bimbang sekiranya ada yang mula menjauhkan diri daripada kita.
Selain itu, mulut berbau juga berkemungkinan sebagai tanda kehadiran penyakit lain yang mungkin anda hadapi.
Bau mulut dalam istilah perubatan disebut halitosis atau dalam bahasa Inggeris dinamakan Bad Breath.
Halitosis boleh berlaku pada kanak-kanak dan juga orang dewasa.
Ramai yang mempunyai masalah ini tetapi tidak tahu apa yang perlu dilakukan untuk menghilang dan mengatasinya.
Penyebab bau mulut
- Bakteria
- Kekurangan air liur - punca kekurangan air liur ialah tekanan perasaan, pengambilan minuman beralkohol, kekurangan air dalam badan, berpuasa, mengurangkan perembesan air liur.
Cara menghilangkan masalah nafas atau mulut berbau.
Membersih dan memberus gigi
Memberus gigi secara teratur, baik dan menyeluruh serta menggunakan benang flos atau flos pakai-buang dengan betul.
Membersihkan lidah
Bersihkan lidah paling tidak dua kali setiap hari untuk menghilangkan masalah nafas berbau.
Minum banyak air
Minum lebih banyak air, paling kurang dua liter (16 gelas) sehari dapat merangsang pengeluaran air liur sekali gus mengurangkan masalah nafas berbau.
Pemakanan
Elakkan memakan makanan yang mungkin menjadi punca masalah nafas berbau seperti bawang putih dan kopi.
Mengunyah gula-gula getah
Gula-gula getah dapat merangsang pengeluaran air liur dan membersihkan sisa makanan.
Prihatin pada gigi sendiri
Memeriksa gigi jika terdapat tanda-tanda penyakit gusi dan tulang.
Berjumpa doktor gigi
Berjumpalah dengan doktor gigi untuk pemeriksaan paling kurang setahun sekali.
Cara tradisional bagi menghilangkan nafas dan mulut berbau.
Daun jambu batu
Berkumur dengan air pucuk jambu batu yang dicampur setengah gelas air dan sedikit garam sebanyak dua hingga tiga kali sehari.
Sirih
Berkumur menggunakan air rebusan sirih pada anggaran 1.5 gelas.
Serai wangi dan kulit limau kasturi
Gunakan air campuran serai wangi dan kulit limau kasturi yang direbus untuk berkumur sebanyak dua atau tiga kali sehari.
Cengkih
Gunakan air rebusan tiga atau lima kuntum bunga cengkih untuk berkumur. Amalkan pada waktu pagi dan petang.
Menghisap kulit kayu manis
Kunyah sebatang kulit kayu manis yang kecil setiap malam sebelum tidur. Telan airnya, hampasnya dibuang. Amalkan setiap malam.
Bunga lawang
Bunga lawang juga boleh dikunyah untuk menghilangkan nafas berbau busuk atau minum air rebusan untuk berkumur.
Meminum teh hijau dan daun pudina
Minum air teh hijau atau minum air rendaman daun pudina sekurang-kurangnya dua kali sehari.
- BH
Monday, August 11, 2014
Yogurt
Yogurt ialah sejenis minuman hasil daripada penapaian susu dengan menggunakan bakteria hidup sebagai probiotik yang baik untuk saluran pencernaan manusia.
Tahukah anda, badan manusia memerlukan bakteria yang baik untuk kesihatan saluran pencernaan, apatah lagi bagi golongan remaja.
Yogurt probiotik ialah istilah yang sering didengar dan sama dengan probiotik, merujuk kepada organisma hidup yang boleh memberi manfaat kesihatan apabila dimakan dalam jumlah yang mencukupi di samping merangsang pertumbuhan mikroorganisma yang baik untuk badan.
Yogurt dapat membantu memberi keseimbangan dalam kitaran usus manusia atau bertindak secara langsung terhadap penghadaman dan sistem imunisasi (ketahanan) badan.
Bahan asas yogurt ialah susu dan amalan makan atau minum yogurt membekalkan protein serta khasiat yang diperlukan tubuh seperti kalsium, vitamin D, vitamin B2, vitamin B12, potasium dan magnesium.
Untuk remaja yang sedang berusaha menurunkan berat badan, yogurt merupakan pilihan tepat untuk anda.
Yogurt dapat membantu anda merasai nikmat kekenyangan.
Yogurt berkuasa meningkatkan protein dan kalsium untuk tumbesaran tulang manusia dan membantu mencegah osteoporosis.
Pemakanan yang mencukupi dapat membantu mencegah dan merawat penyakit kelampungan tulang dengan membekalkan kalsium dan vitamin D yang amat penting untuk kesihatan tulang.
Ini penting untuk remaja yang sedang membesar bagi membina sistem tubuh yang baik, sekali gus dapat menghindari penyakit.
Ada juga kajian membuktikan pengambilan yogurt dapat mengurangkan risiko tekanan darah tinggi dan jangkitan pada faraj (bagi remaja perempuan).
Amalkan makan atau minum yogurt sejuk atau sederhana sejuk dan kurang manis setiap hari bagi mengelakkan risiko mendapat penyakit berkenaan.
- BH
Subscribe to:
Posts (Atom)