Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, August 6, 2013

Pneumonia


Paru-paru berair atau pneumonia boleh menyebabkan batuk, demam dan kesukaran bernafas.

Punca utama jangkitan pneumonia adalah disebabkan bakteria yang dikenali sebagai Klebsiella pneumonia atau Streptococcus pneumonia.

Pesakit yang dijangkiti pneumonia peringkat sederhana akan bertambah baik dan pulih dalam tempoh tiga hingga lima hari selepas dirawat dengan antibiotik.

Keletihan dan batuk ringan boleh berkekalan selama enam minggu tetapi pesakit boleh memulakan aktiviti harian seperti biasa dalam tempoh seminggu.

Pesakit yang memerlukan rawatan hospital selalunya akan mengambil masa yang lebih lama untuk pulih.

Pneumonia boleh menjadi semakin buruk bagi pesakit yang tergolong dalam kumpulan yang berisiko tinggi.

Antara risiko tersebut ialah pengumpulan cecair pada paru-paru dan lapisan dalam dinding dada yang boleh dijangkiti.

Pengumpulan nanah di kawasan paru-paru yang dijangkiti pneumonia selalunya memerlukan rawatan antibiotik berterusan manakala pembedahan membuang nanah merupakan langkah terakhir.

Jangkitan paru-paru juga mampu merebak kepada organ dalaman yang lain.

Kebanyakan pesakit akan sembuh daripada radang paru-paru. Begitupun, antara 5 hingga 10 peratus mangsa mempunyai risiko maut khususnya bagi golongan yang berusia lebih 65 tahun.

Golongan ini selalunya kekurangan gizi disebabkan faktor usia atau kurang akses pada makanan.

Selain itu, mereka yang mempunyai penyakit paru-paru seperti asma, kuat merokok, bronkitis kronik atau emfisema, sejarah diabetes dan penyakit jantung juga mempengaruhi jangkitan pneumonia.

Kebanyakan pesakit akan pulih sepenuhnya tetapi mereka selalunya akan mengalami kepenatan serta keletihan untuk beberapa bulan.

Jangkitan itu turut meninggalkan parut kekal dalam paru-paru yang mungkin memberi kesan jangka panjang seperti hilang keupayaan fungsi paru-paru.

Antibiotik menjadi kunci rawatan pneumonia dan kebanyakan pesakit boleh dirawat dari rumah dengan antibiotik jenis tablet.

Walaupun menghidap penyakit paru-paru berair, pesakit selalunya tidak ditegah untuk meminum air dalam jumlah yang banyak.

Susah untuk mencegah jangkitan pneumonia tetapi amalan kerap mencuci tangan dengan sabun dan air atau pencuci tangan berasaskan alkohol boleh membantu mengurangkan serangan pneumonia.

Sentuhan turut menyumbang jangkitan pneumonia, justeru menutup mulut dan hidung setiap kali batuk atau bersin boleh membantu mengekang penularan pneumonia.

Pneumonia tidak hanya menyasarkan warga tua. Ia sebenarnya boleh menjejaskan mana-mana kumpulan umur.

sumber: Artikel Paru-paru bernanah oleh Kumara Sabapatty, Kosmo! 27 Mei 2012

No comments: